X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 07 Julai 2022

Pemain industri perlu cipta tawaran untuk pelancong wanita

Nancy Shukri - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri menggesa lebih ramai pemain industri itu mencari jalan bagaimana mereka boleh mencipta semula tarikan pelancongan agar dapat memenuhi keperluan wanita dengan lebih berkesan.

Bercakap pada Forum Korporat, Pusat Pelancongan Islam (ITC) bertemakan ‘Wanita Dalam Ekonomi Pelancongan Islam’ yang berlangsung secara maya hari ini, beliau memuji ITC kerana memainkan peranan dalam membangunkan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang selamat dengan mengungguli konsep pelancongan dan hospitaliti mesra Muslim.

"Meskipun konsep tersebut didukung oleh keperluan dan kehendak berasaskan kepercayaan bagi pelancong Islam, ia turut merangkumi keutamaan berhubung keselamatan, privasi dan keselesaan pelancong wanita,” katanya.

Dalam ucapannya, Nancy berkata, antara usaha utama ITC ialah program Pengiktirafan Kemudahan Mesra Muslim (MFAR) dengan mengiktiraf hotel dan resort yang menawarkan keperluan pasaran pelancong Islam termasuk menyediakan kemudahan berasingan berdasarkan jantina seperti kolam renang dan gim.

Setakat ini, katanya, sejumlah 44 hotel di Malaysia telah diiktiraf oleh ITC di bawah program MFAR termasuk rangkaian tempatan dan jenama antarabangsa.

Beliau berkata, usaha ITC itu telah menyumbang ke arah menjadikan Malaysia sebagai Destinasi Mesra Muslim bagi Wanita paling popular dalam Laporan Mastercard-Crescentrating 2019 ‘Muslim Women in Travel.’

Melangkah ke hadapan, Nancy berkata, kementerian itu menyokong usaha ITC dalam membangunkan garis panduan untuk produk, hospitaliti dan perkhidmatan mesra Muslim lain dalam industri pelancongan.

Beliau berkata garis panduan itu juga akan memberi manfaat kepada pelancong wanita tanpa mengira agama dengan mengutamakan privasi dan keselamatan mereka semasa melancong ke Malaysia.

Menyentuh pembabitan wanita dalam industri pelancongan, Nancy berkata kumpulan itu sering tertumpu kepada pekerjaan berkemahiran rendah atau tidak rasmi dalam sektor itu sehingga mengehadkan kemampuan mereka untuk menyerap kejutan ekonomi seperti kesan pandemik Covid-19 yang tidak dijangka.

Selain itu, sebagaimana dalam industri lain, beliau berkata wanita dalam bidang pelancongan turut berdepan masalah penganiayaan.

Katanya oleh itu, acara seperti forum hari ini akan mencari jalan untuk menjadikan pelancongan sebagai sesuatu yang lebih selamat, inklusif, bermakna dan lestari kepada golongan wanita yang semakin ramai melibatkan diri dalam industri tersebut sama ada sebagai pengamal mahupun pelancong. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!