'Kenapa tiada orang suruh saya out?'

Tunku Ismail
Tunku Ismail
A
A
A

PEMILIK Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim tampil mempertahankan pengendalinya, Benjamin Mora yang dikritik hebat susulan prestasi hambar Harimau Selatan dalam kempen Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim ini.

Kegagalan JDT melepasi aksi peringkat kumpulan ternyata mengundang rasa tidak senang peminat dan penyokong kelab dari selatan tanah air itu yang mendesak Mora dipecat.

"Siapa lantik Mora? Saya. Kenapa tiada orang suruh saya out? Saja nak tanya. Tahun ini sudah ada satu piala, betul? Setiap tahun dari 2014 ada satu atau dua piala, betul?

"Ini ACL. Kita pernah menang perlawanan ACL, kita seri, kita kalah. Lawan kelab Jepun kita pernah menang, lawan kelab Korea kita pernah menang.

"Sekarang tahap kita belum setinggi untuk ACL. Tetapi untuk bersaing di ACL adalah satu penghormatan. Kita satu-satunya kelab dari negara ini main ACL.

"Bagus untuk ada cita-cita. Tetapi cita-cita dengan khayalan berbeza. Pertama, sedar diri tahap kita kelab Malaysia, kedua baru impian. Ketiga jangan putus asa dan teruskan peningkatan," tulisnya dalam satu komen di Instagram rasmi JDT pada Rabu.

JDT mengakhiri perjuangan mereka di pentas ACL musim ini dengan berada di kedudukan ketiga Kumpulan G selepas mengumpul empat mata selepas mengharungi enam perlawanan di Bangkok, Thailand.

JDT tewas dalam kedua-dua perlawanan berdepan kelab Korea Selatan, Pohang Steelers serta wakil Jepun, Nagoya Grampus dan hanya meraih kemenangan serta keputusan seri menentang Ratchaburi FC.

Artikel Berkaitan: