Majlis Presiden PH gesa Muhyiddin letak jawatan secara terhormat

Kenyataan Majlis Presiden PH.
Kenyataan Majlis Presiden PH.
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menggesa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan secara terhormat kerana telah hilang sokongan dan keabsahan.

Dalam kenyataan bersama, Majlis Presiden PH itu berkata, pihaknya mengambil maklum kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa partinya telah menarik balik dan menamatkan sokongan terhadap Perdana Menteri serta-merta.

Tambah Majlis Presiden itu, pihaknya turut mengambil maklum kenyataan Peguam Negara berkaitan isu penzahiran sokongan terhadap Perdana Menteri dengan mendakwa peguam berkenaan bertindak lebih sebagai ahli politik Perikatan Nasional (PN) daripada mempertahankan keluhuran undang-undang.

“Kami mengingatkan Peguam Negara bahawa Muhyiddin telah dilantik sebagai Perdana Menteri berdasarkan warkah ketua-ketua parti politik yang menyokong beliau termasuk Presiden UMNO yang telah dipersembah kepada Yang di-Pertuan Agong pada 29 Februari lalu.

“Justeru, apabila ketua parti terbesar ini menarik sokongan seperti yang berlaku sekarang, maka perdana menteri telah hilang sokongan asas sekali gus hilang sokongan majoriti ahli Parlimen,” menurut kenyataan itu pada Khamis.

Kenyataan bersama itu membabitkan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Mengulas lanjut Majlis Presiden PH itu berkata, pihaknya akan terus memberi fokus kepada usaha menyelesaikan masalah rakyat, pengurusan krisis Covid-19 dan program vaksinasi selain menghidupkan semula ekonomi negara dengan lebih baik.

“Kita perlu memberi lebih banyak tumpuan kepada usaha menyelamatkan nyawa dan ekonomi rakyat ekoran krisis Covid-19 yang kian meruncing berbanding terus berpolitik demi jawatan dan habuan.

Artikel Berkaitan:

“Majlis Presiden turut berpendirian bahawa waktu ini bukanlah masa sesuai untuk mengadakan pilihan raya umum, pilihan raya negeri atau pilihan raya kecil.

“Ini kerana jumlah kes Covid-19 masih lagi tinggi dan prasarana kesihatan awam yang semakin tertekan,” kata mereka.