Kerajaan PN telah jatuh secara teknikal

Faiz Fadzil
Faiz Fadzil
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan Perikatan Nasional (PN), secara teknikal telah jatuh kerana asas sesebuah kerajaan bergantung kepada keabsahan Perdana Menteri yang perlu mempunyai keyakinan majoriti seperti kehendak Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan.

Ahli Jawatankuasa Pimpinan Parti Amanah Negara (Amanah), Faiz Fadzil berkata, ia susulan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menarik diri daripada kerajaan PN pada Rabu.

Beliau berkata, keputusan berkenaan kini menimbulkan satu persoalan undang-undang dan krisis Perlembagaan sama ada Malaysia sekarang mempunyai kerajaan yang sah.

Dengan keputusan itu, UMNO yang memiliki 38 orang ahli Parlimen (Dewan Rakyat) telah menyebabkan kerajaan PN hilang majoriti dengan hanya diwakili 77 orang ahli Parlimen.

"Jumlah 77 ini jauh daripada jumlah threshold 111 mengikut Perkara 43 (2) dan (4) Perlembagaan Persekutuan untuk membentuk sokongan majoriti (jumlah kerusi keseluruhan Parlimen kini hanya 220)," katanya dalam kenyataan kepada Sinar Harian pada Khamis.

Dalam pada itu, Faiz yang juga merupakan seorang peguam berkata, bagaimanapun mengikut perundangan, majoriti dimiliki Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin masih tergantung selagi tiada pengumuman rasmi jumlah ahli Parlimen UMNO yang menarik diri daripada kerajaan PN.

"Ini kerana Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan menyebut tentang sokongan ahli Parlimen dan bukannya parti politik yang diwakili mereka," katanya.

Faiz berkata, secara politik pula, Muhyiddin telah diberikan isyarat jelas bahawa parti gabungan kerajaan PN telah menarik sokongan terhadap beliau.

Artikel Berkaitan:

"Maka secara politik dan moralnya, beliau perlu meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Dira, Tajuddin, Zahidi dianggap tolak keputusan MKT

Beliau berkata, kaedah kehilangan atau keabsahan majoriti seseorang ahli Parlimen perlu diputuskan dalam Parlimen seperti precedent kes Stephen Kalong Ningkan.

"Namun, precedent kes Datuk Seri Nizar, majoriti boleh ditentukan di luar Parlimen,” katanya lagi.

Faiz berkata, memandangkan titah Yang di-Pertuan Agong supaya Parlimen bersidang segera maka penting untuk Parlimen dibuka secepat mungkin dan usul undi percaya terhadap Muhyiddin dijadikan urusan pertama.

Katanya, usul itu boleh dibawa ahli Parlimen Pas yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang pernah mengemukakannya terhadap Tun Mahathir Mohamad ketika Pakatan Harapan (PH) memerintah dahulu.

Menurutnya, jika Perdana Menteri Israel dan Sweden berani untuk diuji keabsahan di Parlimen, Muhyiddin juga perlu berani mengambil langkah sama supaya keluhuran undang-undang dan perlembagaan dijunjung dan institusi demokrasi dipelihara.

“Sebaiknya, Muhyiddin hendaklah secara terhormat meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri supaya seorang ahli Parlimen yang mempunyai keyakinan majoriti dilantik sebagai Perdana Menteri.

“Negara perlu dipulihkan dan bukan masanya lagi berpolitik untuk kepentingan parti atau peribadi. PH sebagai blok terbesar seharusnya diberikan peluang oleh ahli-ahli Parlimen lain untuk mengambil alih pentadbiran negara demi kemaslahatan rakyat yang kini sengsara akibat kegagalan kerajaan PN,” katanya.