Kes harian positif Covid-19 dijangka terus meningkat

Kes harian positif Covid-19 dijangka terus meningkat berikutan KKM menjalankan aktiviti kesihatan awam secara tertumpu. Foto 123RF
Kes harian positif Covid-19 dijangka terus meningkat berikutan KKM menjalankan aktiviti kesihatan awam secara tertumpu. Foto 123RF
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Kes harian positif Covid-19 dijangka terus meningkat berikutan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjalankan aktiviti kesihatan awam secara tertumpu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya mempergiatkan aktiviti pengesanan kontak rapat dan saringan kesihatan khususnya ke atas individu yang bergejala.

Menurut beliau, KKM juga melaksanakan ujian saringan ke atas 10 peratus penduduk yang tinggal di kawasan 34 mukim Selangor dan 14 lokaliti di Kuala Lumpur yang berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dengan memberi keutamaan kepada golongan berisiko tinggi.

"Negeri Selangor telah menyumbang sebanyak 42.02 peratus daripada 47,811 kes bagi tempoh 1 hingga 7 Julai berbanding hanya 38.33 peratus daripada 40,973 kes bagi tempoh 24 Jun hingga 30 Jun.

"Kuala Lumpur pula menyumbang sebanyak 13.01 peratus pada tempoh 1 hingga 7 Julai berbanding 12.29 peratus bagi tempoh 24 Jun hingga 30 Jun," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Pada perkembangan sama, Dr Noor Hisham berkata, sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah meluluskan agar KKM meneruskan aktiviti penyumberluaran ke hospital dan makmal swasta bagi membantu meningkatkan kapasiti KKM menangani Covid-19.

"Sejumlah peruntukan telah diluluskan bagi mengurangkan masa menunggu pesakit yang perlu menjalani pembedahan atau prosedur kritikal seperti rawatan jantung dan kanser," katanya.

Beliau berkata, sejak 6 Julai lalu, seramai 25 pesakit Hospital Kuala Lumpur telah dihantar ke hospital swasta yang dikenalpasti.

Artikel Berkaitan:

"Jumlah pesakit yang akan dihantar bagi mendapatkan rawatan di hospital swasta dalam jangka masa enam bulan dianggarkan seramai 993 orang yang melibatkan peruntukan berjumlah RM18 juta," katanya.

Katanya, KKM akan terus komited memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat dalam apa jua keadaan yang dihadapi.