UMNO Sabah kekal bersama rakan komponen GRS: Bung Moktar

Bung Moktar
Bung Moktar
A
A
A

KOTA KINABALU - UMNO Sabah berpendirian untuk terus kekal bersama rakan komponen dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi mempertahankan Kerajaan Sabah yang kini ditadbir gabungan tersebut walaupun berdepan situasi politik semasa.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, UMNO Sabah bertindak mempertahankan Kerajaan Sabah pada masa ini bagi memastikan janji kepada rakyat semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-16 lepas dapat ditunaikan.

"Dalam kedudukan UMNO Sabah ketika ini, kita dari awal menyatakan akan mempertahan kerajaan GRS ini bagi menghormati mandat diberikan kepada rakyat semasa PRN yang lalu, kita juga melihat walaupun (GRS) baharu kita tetap perlihatkan keberkesanan.

"Ini (keberkesanan) dapat dilihat dalam tadbir urus baik dalam memastikan negeri Sabah dari segi ekonomi dan juga rakyat dapat kita bela untung nasib mereka, UMNO Sabah adalah sebahagian daripada GRS dan kini fokus kepada bangunkan Sabah," katanya menerusi kenyataan di sini pada Khamis.

GRS merupakan gabungan parti dalam Perikatan Nasional (Bersatu, Parti Solidariti Tanah Airku - Star, Parti Progresif Sabah - SAPP dan PAS); BN (UMNO, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah - PBRS) dan PBS.

Timbalan Ketua Menteri Sabah itu berkata, pendirian itu turut dinyatakan pihaknya dalam pertemuan dengan Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor yang juga Pengerusi GRS, semalam, selepas Mesyuarat Kabinet Kerajaan Sabah.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi I GRS menjelaskan, sehubungan itu Kerajaan Sabah ditadbir GRS masih berfungsi seperti biasa dan terus fokus untuk menjalankan tugas demi kesejahteraan rakyat negeri itu terutama dalam menghadapi cabaran dibawa Covid-19.

“Mandat rakyat berikan untuk menjadi kerajaan perlu dimanfaatkan bagi membangunkan Sabah yang kini sudah agak jauh ketinggalan, dengan ancaman Covid-19 keadaan ekonomi yang tidak stabil banyak syarikat, usahawan dan juga penggiat industri perhotelan serta pelancongan berhadapan dengan masalah.

Artikel Berkaitan:

“Justeru, adalah menjadi tanggungjawab kami dalam GRS untuk membangunkan Sabah sekali gus menjaga kesejahteraan rakyat Sabah” katanya.

Mengenai keputusan Majlis Tertinggi UMNO awal pagi tadi untuk menarik balik dan menamatkan sokongan serta-merta terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri, Bung Moktar berkata: “UMNO Sabah menghormati keputusan tersebut.”

Sementara itu, Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Datuk Dr Jeffrey Kitingan yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah dalam kenyataan berasingan berkata, keputusan tersebut mengukuhkan status autonomi UMNO Sabah dan menunjukkan bahawa UMNO Sabah adalah parti yang mengutamakan rakyat Sabah.

“Pihak pembangkang telah berusaha berkali-kali untuk mengacau-bilau kerajaan ini tetapi kecewa kerana parti-parti yang membentuk GRS terdiri daripada pemimpin-pemimpin yang tahu bahawa kuasa sebenarnya ada di tangan rakyat,” kata Timbalan Pengerusi III GRS itu. -Bernama