X

Kindly register in order to view this article
!

Kes harian Covid-19 meningkat, ringgit ditutup rendah

Ringgit susut ke paras RM4.18 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada akhir urus niaga hari ini ketika perkembangan terkini menyaksikan kes harian Covid-19 mencecah 8,868.
A
A

RINGGIT susut ke paras RM4.18 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada akhir urus niaga hari ini ketika perkembangan terkini menyaksikan kes harian Covid-19 mencecah 8,868.

Pada 6 petang, ringgit berada pada 4.1815/1830 berbanding dolar AS daripada 4.1605/1625 pada akhir urus niaga semalam.

Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Adam Mohamed Rahim berkata, jumlah 8,868 kes yang diumumkan oleh Kementerian Kesihatan itu adalah yang kedua tertinggi selepas mencatat 9,020 kes pada 29 Mei lepas.

“Ini berlaku ketika harga minyak global terus diasak tekanan akibat prospek permintaan berkurangan susulan gelombang jangkitan baharu di Asia,” katanya.

Terdahulu, Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan keputusan mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 1.75 peratus selepas mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) hari ini.

Dalam kenyataannya, bank pusat itu berkata pemulihan ekonomi global juga bertambah kukuh, disokong oleh peningkatan dalam aktiviti perkilangan dan perkhidmatan.

“Kadar pemulihan negara-negara ini bagaimanapun adalah berbeza. Negara-negara yang mencapai kemajuan lebih baik dalam pelaksanaan program pemberian vaksin, telah dapat melonggarkan langkah-langkah pembendungan dan membolehkan aktiviti dalam negara pulih dengan segera.

“Di beberapa negara maju, sokongan fiskal dan monetari yang besar juga menyokong momentum pemulihan lebih kukuh, meskipun aktiviti di beberapa negara terganggu oleh langkah-langkah pembendungan lebih ketat bagi mengekang penularan semula Covid-19,” demikian menurut BNM.

Dalam pada itu, ringgit juga rendah berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Ringgit susut berbanding pound Britain kepada 5.7592/7612 daripada 5.7452/7480 semalam dan rendah berbanding euro kepada 4.9480/9497 daripada 4.9210/9234, sebelumnya.

Unit tempatan itu juga susut berbanding yen kepada 3.8045/8062 daripada 3.7563/7585 dan rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.0928/0942 daripada 3.0878/0895, sebelum ini. -Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!