Tanpa bendera putih, ADUN agih bakul makanan untuk penduduk

Mohd Azam (dua, kanan) menyampaikan sumbangan barangan makanan kepada penduduk dalam program ziarah di Batu 16, Padang Lumat.
Mohd Azam (dua, kanan) menyampaikan sumbangan barangan makanan kepada penduduk dalam program ziarah di Batu 16, Padang Lumat.
A
A
A

JERAI - Tanpa kempen atau isyarat bendera putih sekalipun, kerajaan negeri menerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sentiasa mengagihkan bakul makanan ke rumah penduduk yang terjejas akibat penularan pandemik Covid-19.

ADUN Sungai Limau, Mohd Azam Abd Samat berkata, bantuan disalurkan menerusi pelbagai peringkat yang menggerakkan usaha membantu rakyat menangani impak pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurutnya, peranan tersebut dipikul bersama Pejabat ADUN, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), penghulu dan ketua kampung.

“Semua inisiatif itu disalurkan secara berpusat di bawah Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) diketuai pegawai daerah bersama agensi lain, seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) pula memperuntukkan 'food bank' secara bulanan di setiap masjid seluruh negeri untuk bantu kariah memerlukan,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Mohd Azam yang juga Ketua Penerangan Pas Kedah berkata, penyampaian bakul makanan kepada penduduk adalah berdasarkan senarai dihantar oleh penghulu, JPKK dan Pusat Khidmat DUN yang diselaraskan oleh PKOB.

“Tanpa bendera putih sekalipun, semua jentera kerajaan siap siaga membantu rakyat dan mereka yang terkesan boleh menghubungi atau membuat permohonan.

"Menerusi penyelarasan PKOB, kerajaan akan pastikan rakyat yang perlu dibantu tidak tercicir dan dapat kurangkan bantuan yang bertindih,” katanya.

Menurutnya, penyelarasan tersebut juga melibatkan badan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat korporat serta jabatan atau agensi kerajaan lain yang menggerakkan inisiatif bantuan.

Artikel Berkaitan:

“Ia dapat mengurangkan pergerakan individu bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) PKP. Jika dibiarkan, pergerakan individu tidak terkawal seterusnya membanjiri rumah yang dinaikkan bendera putih untuk salurkan bantuan.

"Kerajaan negeri telah menetapkan semua pergerakan bantuan mestilah melalui PKOB, individu atau NGO yang berdaftar dengan pihak berkuasa untuk mudahkan pengesanan kontak rapat sekiranya berlaku jangkitan Covid-19,” katanya.

Mohd Azam berkata, PKOB turut menyediakan talian khas untuk melaporkan maklumat berkaitan keluarga yang terputus bekalan makanan.

Mohd Azam bersama sukarelawan PKOB daerah Yan, dibantu anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Jabatan Amal Malaysia, menyerahkan sumbangan barangan keperluan kepada penduduk sekitar Batu 16, Padang Lumat.

“Bila kita turun sendiri, kita dapat santuni penduduk, bertanya khabar dan mungkin kita mendapat maklumat mengenai individu yang perlu dibantu segera.

Ketika saya hantar bantuan ke beberapa rumah, terdapat jiran mereka yang uzur dan perlu barangan keperluan, dapatlah kita hulurkan bantuan segera bawah peruntukan wakil rakyat,” katanya.

Setakat Isnin, PKOB Yan telah mengagihkan 3925 bakul makanan dan 151 keperluan lain yang disediakan oleh kerajaan negeri dan penyumbang lain.

Manakala Pusat Khidmat DUN Sungai Limau telah menyalurkan 250 bakul makanan.

“Diharapkan ada lagi pihak tampil sampaikan sumbangan kepada PKOB untuk diagihkan kepada keluarga yang terputus bekalan makanan semasa PKP atau yang dikuarantin disebabkan Covid-19, katanya.