GPS sokong pelantikan TPM

Menteri Utiliti Sarawak Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom (kanan) meninjau kaunter pendaftaran pusat pemberian vaksin industri (PPVIN) di Mydin Petra Jaya, hari ini. -Foto Bernama
Menteri Utiliti Sarawak Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom (kanan) meninjau kaunter pendaftaran pusat pemberian vaksin industri (PPVIN) di Mydin Petra Jaya, hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

KUCHING - Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyokong keputusan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin melantik Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Perdana Menteri selagi langkah itu membawa faedah kepada rakyat secara keseluruhan.

Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom, yang partinya adalah tunjang GPS, berkata, gabungan itu akan tetap menyokong sebarang keputusan Kerajaan Persekutuan untuk menstabilkan situasi politik dalam negara.

“Apa yang Perdana Menteri lakukan, jika membawa kebaikan kepada rakyat, kami (GPS) akan sokong,” katanya kepada pemberita selepas melawat pusat pemberian vaksin industri (PPVIN) Mydin di sini pada Khamis.

Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam kenyataan semalam memaklumkan Ismail Sabri telah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dan mengekalkan jawatan beliau sebagai Menteri Pertahanan manakala Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dilantik sebagai Menteri Kanan (Kluster Keselamatan).

Setiausaha Agung GPS Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, dalam maklum balas terhadap kedua-dua pelantikan itu berkata GPS berharap ia akan membenarkan semua pihak mengembalikan fokus mereka kepada isu penting yang dihadapi negara.

Beliau berkata, selain pemulihan ekonomi, isu kebajikan serta kesejahteraan dan keselamatan rakyat dalam mendepani ancaman pandemik COVID-19 harus menjadi keutamaan semua pihak buat masa ini. -Bernama

Artikel Berkaitan: