Bersatu tolak tuduhan kerajaan PN gagal

Wan Saiful Wan Jan
Wan Saiful Wan Jan
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menolak tuduhan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) gagal memenuhi aspirasi rakyat.

Ketua Penerangannya, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, tuduhan tersebut merupakan ulang suara tohmahan yang sering disebut oleh parti pembangkang terutama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

Menurutnya, pelbagai bentuk bantuan dikeluarkan oleh kerajaan dalam rangka membela nasib rakyat dan membina semula ekonomi negara dengan jumlah keseluruhan melebihi RM500 bilion.

“Tidak pernah ada pakej bantuan lebih tinggi daripada apa yang dikeluarkan oleh kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin, baik dari segi menjaga kebajikan rakyat mahupun memberi suntikan kepada pembinaan semula ekonomi.

“Pelan Pemulihan Negara pula menggariskan dengan jelas strategi untuk membawa negara keluar daripada belenggu wabak Covid-19.

“Vaksinasi menjadi senjata utama dan pada penghujung Julai bekalan vaksin yang diterima akan meningkat 16 juta dos dan pemberian vaksin harian meningkat kepada lebih 300,000 dos sehari,” katanya dalam kenyataan menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan sedang menuju ke arah kejayaan dalam menjaga kebajikan dan kesihatan rakyat serta membina semula ekonomi.

Menurutnya, tidak ada sebarang ugutan atau tekanan yang boleh menutup hakikat sebenar bahawa kerajaan PN yang dipimpin oleh Muhyiddin sentiasa memberi keutamaan kepada agenda rakyat.

Artikel Berkaitan:

“Dalam situasi ini, Ahmad Zahid sendiri yang sebenarnya gagal untuk menjaga perpaduan dan kebersamaan di kalangan parti-parti politik Melayu-Islam.

“Gagal memahami bahawa rakyat menuntut sebuah kerajaan yang prihatin dan mendahulukan keperluan rakyat, gagal memahami bahawa rakyat semakin muak dengan politik berlebihan, gagal memanfaatkan sebegitu ramai tokoh UMNO yang berada dalam kerajaan bersama-sama memberi tumpuan berkhidmat untuk rakyat dan gagal meletakkan agenda rakyat lebih tinggi daripada agenda peribadi,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pengumuman yang dibuat oleh Ahmad Zahid tidak memberi kesan kepada perjalanan kerajaan kerana ia dibentuk oleh seorang perdana menteri berdasarkan sokongan terbanyak daripada ahli Parlimen.