Skuad pelayaran kontinjen Malaysia pertama berlepas ke Tokyo

Empat atlet pelayaran negara (dari, kiri) Nur Shazrin, Khairulnizam, Juni Karimah dan Nuraisyah bergambar sebelum berlepas ke Tokyo di KLIA pada Khamis. - Foto Bernama
Empat atlet pelayaran negara (dari, kiri) Nur Shazrin, Khairulnizam, Juni Karimah dan Nuraisyah bergambar sebelum berlepas ke Tokyo di KLIA pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

SKUAD pelayaran negara terdiri daripada empat atlet dan tiga jurulatih menjadi kumpulan pertama kontinjen Malaysia berlepas ke Jepun bagi menghadapi Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang bakal berlangsung 23 Julai hingga 8 Ogos ini.

Kumpulan itu berlepas ke Tokyo menaiki pesawat Malaysia Airlines MH070 pada jam 9.50 pagi dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita pada jam 6.05 petang.

Malaysia akan diwakili oleh Khairulnizam Mohd Afendy bagi acara laser lelaki, Nur Shazrin Mohd Latif (laser wanita), Nuraisyah Jamil dan Juni Karimah Noor Jamali (kedua-duanya acara International 470 wanita) di Tokyo 2020.

Mengiringi perlepasan mereka ialah Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail, Presiden Persatuan Pelayaran Malaysia (MSA) Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim dan Ketua Pegawai Operasi Malaysia Airlines Berhad Ahmad Luqman Mohd Azmi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada Khamis.

Ahmad Shapawi berkata, walaupun acara pelayaran hanya membuka tirai pada 25 Julai dan berlangsung sehingga 4 Ogos, skuad negara bertolak awal bagi membuat persiapan logistik, latihan dan membiasakan diri dengan cuaca dan persekitaran di venue.

"Kita doakan mereka selamat dan menjaga keselamatan khususnya semasa dalam perjalanan supaya tiada pelanggaran satu pun protokol-protokol yang kita telah tetapkan seperti tidak bersentuhan.

"Sampai di sana, mereka perlu menjalani ujiian calitan dan pengasingan selama tiga hari. Kemudian mereka memasuki gelembung sukan dan perlu menjalani ujian air liur setiap hari, kita mematuhi semua peraturan yang ditetapkan oleh pihak penganjur," katanya kepada pemberita.

Bagi temasya kali ini, Malaysia diwakili 30 atlet yang akan beraksi dalam 27 jenis acara merangkumi 10 jenis sukan.

Artikel Berkaitan:

Mereka adalah Khairul Anuar Mohamad, Syaqiera Mashayikh (memanah), Lee Hup Wei, Azreen Nabila Alias (olahraga), Mohd Azizulhasni Awang, Muhammad Shah Firdaus Sahrom (berbasikal trek), Lee Zii Jia, Soniia Cheah, Aaron Chia, Soh Wooi Yik, Chow Mei Kuan, Lee Meng Yean, Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying (kesemuanya badminton).

Selain itu, Pandelela Rinong, Cheong Jun Hoong, Leong Mun Yee, Nur Dhabitah Sabri, Ng Yan Yee (terjun), Gavin Green, Kelly Tan (golf), Farah Ann Abdul Hadi, Jeremiah Loo Phay Xing (gimnastik), Suryani Mohamed Taibi (menembak), Welson Sim dan Phee Jinq En (renang) turut mewakili negara di temasya berkenaan.

Kelompok kedua dan ketiga atlet dijangka berlepas ke Tokyo pada 17 dan 25 Julai ini. - Bernama