X

Kindly register in order to view this article
!

Kedah benar solat tidak lebih 100 orang di masjid bermula Jumaat

Kedah membenarkan solat fardu dan Jumaat berjemaah di masjid dan surau dengan kehadiran tidak lebih 100 orang bermula Jumaat. (Gambar kecil: Mohd Yusri)
A
A

ALOR SETAR - Umat Islam di Kedah dibenarkan untuk menunaikan solat Jumaat dan fardu berjemaah di masjid dan surau dengan kehadiran tidak lebih 100 orang bermula Jumaat.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK), Mohd Yusri Md Daud berkata, kebenaran diberikan untuk mukim zon hijau, kuning dan jingga kepada jemaah terpilih yang telah menerima suntikan vaksin Covid-19.

Menurutnya, penentuan zon adalah mengikut mukim berdasarkan peta harian kes yang dikeluarkan oleh pihak Jabatan Kesihatan Negeri Kedah.

"Bagi mukim zon merah, bilangan kehadiran jemaah tidak melebihi 50 orang yang telah menerima suntikan vaksin.

"Kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pula dibenarkan dengan kehadiran lima orang sahaja terdiri daripada pegawai dan jawatankuasa masjid bagi pelaksanaan solat fardu dan bagi pelaksanaan solat Jumaat ditangguhkan dan diganti dengan solat Zohor di rumah," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mengulas lanjut, Mohd Yusri berkata, pemilihan jemaah selain pegawai masjid dan jawatankuasa kariah diutamakan kepada mereka yang telah lengkap menerima vaksin atau sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Menurutnya, hanya jemaah yang terdiri daripada ahli kariah yang bermastautin dibenarkan hadir menunaikan solat di masjid dan surau dan kehadiran jemaah daripada kariah lain adalah tidak dibenarkan sama sekali.

"Pihak pengurusan masjid dan surau hendaklah mematuhi segala arahan dan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan sebelum ini oleh pihak JHEAIK dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Mana-mana masjid atau surau yang melanggar dan tidak mematuhi SOP yang ditetapkan boleh dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa dan kebenaran melaksanakan aktiviti keagamaan boleh ditarik balik serta-merta," ujarnya.

Tambah beliau, Pihak Pejabat Agama Daerah boleh menarik balik kelonggaran ini jika terdapat kes Covid-19 dalam kalangan jemaah atau jemaah yang menjadi kontak rapat kes positif.

"Pihak pengurusan masjid dan surau hendaklah memastikan agar peredaran udara yang lancar di dalam kawasan ruang solat dengan membuka pintu dan tingkap ketika aktiviti solat berjemaah dilaksanakan dan mengelakkan ruang terkurung," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!