Penjual telur sepak, pijak kepala isteri dijel

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SELAYANG - Tindakan kejam seorang lelaki yang memijak kepala, mencekik leher dan menyepak isterinya mendapat balasan apabila dihukum penjara sembilan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini pada Khamis.

Mohd Riduan Ismail, 34, dikenakan hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap iaitu 6 Julai lalu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret Nur Hafizah Rajuni.

Mengikut pertuduhan, pemuda itu yang bekerja sebagai penjual telur didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan dengan memijak kepala dan menyepak belakang badan isterinya, Siti Rohmah Achmad Sarkati, 30.

Kesalahan dilakukan di sebuah rumah di Kampung Kerdas Batu, Gombak di sini pada jam 2 petang, 5 Julai lalu.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian semasa mangsa berada di rumah berlaku perselisihan faham dengan tertuduh.

Kejadian itu berlaku selepas mangsa bertanya kepada suaminya mengenai hubungan lelaki itu dengan seorang wanita yang tidak dikenali.

Tertuduh kemudiannya telah menumbuk kepala, menendang badan, mencekik leher dan memijak kepala sehingga menyebabkan mangsa mengalami lebam.

Semasa prosiding, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Jean Francis yang mewakili tertuduh, memohon mahkamah mengenakan hukuman pemenjaraan yang singkat atas alasan tertuduh perlu menanggung dua anak yang berusia tiga dan sembilan tahun.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Khairunnisak Hassni mencadangkan tertuduh dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran selain mengambil kira fakta kes.