Tempoh masa kerja terhad, pengusaha tolak 600 bungkus tempahan sehari

Hasbullah menunjukkan biskut manis keluaran syarikatnya yang mendapat permintaan tinggi di pasaran semasa pelaksanaan PKP semasa ditemui di Tanah Merah, Jitra pada Khamis.
Hasbullah menunjukkan biskut manis keluaran syarikatnya yang mendapat permintaan tinggi di pasaran semasa pelaksanaan PKP semasa ditemui di Tanah Merah, Jitra pada Khamis.
A
A
A

JITRA - Sebuah kilang biskut manis di Tanah Merah, Jitra terpaksa menolak tempahan sehingga 600 bungkus biskut sehari kerana kebenaran tempoh bekerja yang terhad termasuk kekurangan pekerja.

Pengarah HZ Food Enterprise, Hasbullah Zainudin, 36 memberitahu, permintaan terhadap produk itu meningkat secara drastik sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 tahun lalu.

Menurutnya, beliau perlu menambah kelengkapan membuat biskut seperti sebuah mesin uli tepung dan sebuah oven yang bernilai kira-kira RM100,000 jika mahu meningkatkan lagi jumlah pengeluarannya setiap hari.

"Biskut manis ini dihasilkan sejak enam tahun lalu dengan pengeluaran kira-kira 8,600 bungkus setiap bulan.

"Namun jumlah pengeluarannya meningkat kepada 19,000 bungkus sebulan selepas pelaksanaan PKP 1.0 sejak tahun lalu. Bagaimanapun, kami terpaksa hadkan kepada jumlah itu sahaja walaupun ada permintaan baharu sehingga 600 bungkus sehari," katanya kepada pemberita ketika ditemui di kilangnya di Tanah Merah, Jitra pada Khamis.

Mengulas lanjut, Hasbullah percaya permintaan terhadap biskutnya meningkat disebabkan oleh pelaksanaan PKP dan orang ramai perlu berada di rumah untuk mengelakkan penularan Covid-19.

Sehubungan itu, syarikatnya perlu menambah bilangan pekerja daripada enam kepada lapan orang untuk membantu kerja-kerja membungkus biskut tersebut.

"Kami beroperasi dari jam 8 pagi sehingga 5 petang sahaja. Sekiranya tempoh beroperasi dibenarkan selepas jam 10 malam, mungkin kami akan pertimbangkan untuk menambah shif kerja pada sebelah malam bagi meningkatkan jumlah pengeluaran," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Tambah Hasbullah, beliau yang dibantu oleh isterinya, Raimi Syazwan kini berjaya memasarkan produk tersebut di Kedah, Perlis, kini merancang untuk memasuki pasaran di Perak dan Selangor pula.

"HZ Food Enterprise juga mengeluarkan produk biskut bulat, namun biskut manis paling mendapat permintaan tinggi setakat ini.

"Kami sebagai syarikat roti dan biskut bumiputera bercita-cita untuk memasarkan prouduk-produk kami di seluruh negara suatu hari nanti," katanya lagi.