Kebun durian jadi port judi diserbu

Kelekaan 55 individu termasuk seorang wanita berjudi akhirnya mengundang padah apabila kesemuanya ditahan dalam serbuan yang dijalankan di kawasan kebun durian dekat Sungai Tiram, di sini, awal pagi tadi.
Kelekaan 55 individu termasuk seorang wanita berjudi akhirnya mengundang padah apabila kesemuanya ditahan dalam serbuan yang dijalankan di kawasan kebun durian dekat Sungai Tiram, di sini, awal pagi tadi.
A
A
A

JOHOR BAHRU – Kelekaan 55 individu termasuk seorang wanita berjudi akhirnya mengundang padah apabila kesemuanya ditahan dalam serbuan yang dijalankan di kawasan kebun durian dekat Sungai Tiram, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Asisten Komisioner Md Yusof Ahmad berkata, kesemua yang ditahan berumur 21 hingga 65 tahun oleh sepasukan pegawai dan anggota polis dari D7 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dibantu oleh D4 JSJ IPK Johor, Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam, BSJ IPD Iskandar Puteri dan BSJ IPD Kulai antara jam 1 hingga 3 pagi tadi.

Menurutnya, hasil risikan selama sebulan lalu mendapati, mereka menjadikan kawasan itu sebagai kawasan perjudian jenis 'See Goh lak' dan sabung ayam dan beroperasi sejak sebulan dengan menjadikan kawasan kebun durian itu sebagai sarang menganjur perjudian.

Antara individu yang ditahan.
Antara individu yang ditahan.

“Serbuan yang diketuai oleh Pegawai Turus D7 JSJ IPK Johor, Deputi Superintendan Mohd Zairi Badderul @ Badrol yang mana sindiket perjudian itu menggunakan taktik atau modus operandi dengan menjadikan ayam jantan dan wang tunai sebagai nilai pertaruhan.

“Pelbagai rampasan turut dilakukan antaranya peralatan perjudian, wang tunai berjumlah RM42,399 serta 18 ekor ayam jantan yang digunakan untuk perjudian,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Md Yusof berkata, kesemua tangkapan dibawa balik ke IPD Iskandar Puteri untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat dibawah Seksyen 7(2) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 dan jika didapati bersalah, pemain perjudian boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000.00 atau penjara tidak melebihi 6 bulan atau kedua-duanya sekali.

Artikel Berkaitan:

Kawasan itu turut menjadikan sabung ayam sebagai perjudian.
Kawasan itu turut menjadikan sabung ayam sebagai perjudian.

“Manakala, penganjur perjudian disiasat dibawah Seksyen 4(1)a atau Seksyen 4(1)b Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 dan jika disabitkan kesalahan hukuman yang boleh dikenakan penjara tidak melebihi dua tahun atau denda RM20,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Beliau berkata, kesemua tangkapan melibatkan warganegara asing turut disiasat dibawah Sekyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana disyaki tiada mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang dari tiga bulan dan tidak melebihi dua tahun dan sebat tidak kurang dari tiga kali sebatan.

“Polis Kontinjen Johor tidak akan berkompromi dalam apa jua jenis perjudian. Masyarakat setempat dipohon memberi maklumat agar jenayah perjudian dihapuskan sehingga akar umbi,” katanya.