Pengerusi MAIS seru umat Islam celik, cakna, faham ilmu faraid

Abdul Aziz
Abdul Aziz
A
A
A

SHAH ALAM - Harta bernilai RM70 bilion yang dibekukan kerana ia tidak dapat dituntut atau tidak dituntut oleh waris sejak merdeka sehingga kini adalah sesuatu yang merugikan umat Islam.

Sehubungan itu, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mengajak masyarakat untuk celik, cakna dan memahami ilmu faraid sebagai salah satu cabang ilmu yang penting dalam mentadbir harta pusaka orang Islam.

Pengerusi MAIS, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, banyak kesan negatif apabila seseorang waris atau masyarakat itu sendiri tidak memahami ilmu faraid.

"Antaranya termasuklah pertelingkahan dan ketidakpuasan hati sesama ahli waris, pembekuan aset harta pusaka yang dianggarkan berbilion ringgit, kos dan proses urusan pentadbiran harta pusaka yang tinggi dan rumit, isu kematian berlapis, isu anak angkat, isu anak tak sah taraf dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Kempen Bulan Faraid Negeri Selangor 2021 secara talian di laman Facebook MAIS semasa merasmikan Webinar Wacana Faraid Online dengan kerjasama Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada Khamis.

Kempen ini bertemakan Faraid Dipelihara Waris Bahagia dan MAIS mengambil insiatif untuk memberi kefahaman dan mendidik masyarakat agar celik ilmu faraid dan seterusnya menjadikan amalan menguruskan harta, mengikut hukum syarak.

Dalam pada itu, beliau juga menyifatkan laporan media yang mendedahkan hampir 70 bilion nilai harta pusaka majoritinya milik orang Melayu di negara ini tidak dituntut sejak merdeka itu adalah angka yang membimbangkan selain boleh membawa kerugian dalam kalangan orang Islam.

"Bahkan tanpa penyelesaian yang komprehensif, ia boleh menyebabkan isu tersebut terus berpanjangan, membelenggu pengurusan dan pentadbiran harta pusaka orang Islam di negeri Selangor khususnya serta Malaysia secara am," kata beliau.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, katanya, MAIS mengambil inisiatif untuk terus kekal aktif menyampaikan dakwah kepada masyarakat melalui Kempen Bulan Faraid Negeri Selangor 2021 berlangsung mulai 5 Julai hingga 6 Ogos 2021.

Selain itu, pelbagai program ilmiah turut dirancang sepanjang pelaksanaan Kempen Bulan Faraid Negeri Selangor antaranya Wacana Faraid, Kuliah Faraid Bersiri, Program Bicara Pusaka, Slot Celik Pewarisan dan Baitulmal dan pelbagai lagi.