X

Kindly register in order to view this article
!

Terengganu benar solat ikut kapasiti masjid, surau

Kerajaan negeri Terengganu membenarkan solat Jumaat, fardu serta jenazah di masjid dan surau dihadiri bilangan jemaah mengikut keluasan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP). Gambar hiasan.
A
A

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri Terengganu membenarkan solat Jumaat, fardu serta jenazah di masjid dan surau dihadiri bilangan jemaah mengikut keluasan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Datuk Osman Muda berkata, kebenaran sama turut diberikan bagi solat sunat Hari Raya Aidiladha, namun ia terhad kepada jemaah lelaki sahaja.

Menurut beliau, kehadiran jemaah ke masjid dan surau hanya dibenarkan kepada kariah yang bermastautin dan warganegara sahaja kecuali mereka yang diberi kebenaran khas oleh Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu.

“Imam-imam masjid dikehendaki membaca qunut nazilah ketika melaksanakan solat Jumaat dan masjid-masjid dikehendaki melaksanakan solat sunat hajat setiap kali selepas solat Jumaat.

“Semua masjid dan surau juga dikehendaki mengadakan solat hajat serta bacaan surah Yasin setiap malam selepas solat Maghrib secara berjemaah dan berdoa memohon ALLAH SWT mengangkat wabak Covid-19 ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Osman berkata, aktiviti lain di masjid dan surau tidak dibenarkan kecuali mendapat kebenaran Maidam, manakala pelaksanaan ibadat korban perlu berpandukan kepada kenyataan dikeluarkan Maidam pada 1 Julai lalu.

Katanya, peluasan aktiviti keagamaan di masjid dan surau dalam tempoh Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) di Terengganu tersebut mendapat perkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

“Baginda menyeru supaya semua rakyat bersama-sama bermunajat, berzikir, beristighfar dan berselawat kepada Nabi Muhammad SAW dan memperbanyakkan doa supaya wabak ini diangkat oleh ALLAH SWT,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!