X

Kindly register in order to view this article
!

Annuar dedah hasil mesyuarat, dakwa kenyataan Zahid mengelirukan

Tangkap layar hantaran Annuar di Facebooknya pada Khamis.
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa mendakwa kenyataan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkaitan penarikan sokongan parti itu sebagai mengelirukan dan tidak selari dengan keputusan yang dicapai dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada Rabu.

Annuar berkata, maklumat yang diperolehnya berkaitan keputusan mesyuarat berkenaan didapati tidak sama dengan apa yang diumumkan oleh Presiden UMNO itu semasa sidang akhbar pada Rabu.

Menurutnya, antara kata akhir daripada Ahmad Zahid pada mesyuarat itu adalah UMNO memberi kuasa kepada ahli Parlimennya untuk membuat keputusan di Dewan Rakyat.

Jelasnya yang turut berkongsikan sebahagian verbatim yang diucapkan pada mesyuarat berkenaan, Ahmad Zahid juga menyatakan keputusan parti menarik sokongan terhadap Perdana Menteri bukan keputusan ahli Parlimen UMNO.

“Keputusan yang pertama, kita memberi kuasa kepada ahli Parlimen UMNO bahawa apabila persidangan Parlimen dijalankan dan ketika ada agenda pengundian, sama ada pengundian percaya atau tidak percaya, kita serahkan kepada budi bicara yang berhormat ahli Parlimen untuk membuat keputusan di Parlimen, sebagaimana yang dihasratkan ketika saya menghadap Tuanku.

“Untuk itu, parti membuat keputusan bahawa parti menarik sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri. Ini adalah keputusan parti namun keputusan untuk ahli Parlimen adalah bukan keputusan yang telah saya sebutkan pada awal tadi,” menurut sebahagian verbatim keputusan mesyuarat yang dikongsikan oleh Annuar di Facebooknya pada Khamis.

Selepas mengadakan mesyuarat MKT yang berlangsung selama hampir empat jam secara maya pada Rabu, Ahmad Zahid mengumumkan UMNO menarik semula sokongan yang diberikan kepada Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

Verbatim yang dikongsikan itu turut mendedahkan bahawa keputusan yang dicapai itu didakwa telah mendapat 50 sokongan tanpa syarat daripada ahli MKT dengan 15 daripadanya menyokong dengan syarat.

Daripada keseluruhan 56 ahli MKT, Datuk Khaidhirah Abu Zahar difahamkan mengambil pendirian berkecuali manakala Datuk Seri Tajuddin Rahman, meminta untuk KIV iaitu ‘keep in view’.

Seorang lagi ahli MKT yang difahamkan menolak keputusan mesyuarat kerana ketidakhadirannya adalah Datuk Seri Zahidi Zainul Abidin yang juga Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia.

“Jika ini benar, jelaslah kenyataan media Presiden UMNO amat mengelirukan,” ujar Annuar.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!