X

Kindly register in order to view this article
!

Sanggup terjun laut elak dicekup pihak berkuasa

Anggota Maritim Malaysia Zon Kuala Kedah merampas bot bersama peralatan serta enjin yang telah diubah suai dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah. - Foto Maritim Malaysia
A
A

YAN - Tiga nelayan nekad terjun ke dalam laut selepas menyedari kehadiran anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang membuat rondaan di 0.5 batu nautika Pesisir Ruat, Yan pada Khamis.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, dalam kejadian jam 2 pagi itu, nelayan terbabit melarikan diri dengan berenang ke kawasan pesisir pantai bagi mengelakkan ditahan penguat kuasa.

Menurutnya, semasa kejadian, tiga nelayan tersebut sedang melakukan aktiviti menangkap ikan secara tidak sah dengan menarik pukat rawa di kawasan berkenaan.

"Pemeriksaan lanjut ke atas bot menemukan dua batang buluh dan sebidang pukat yang disyaki digunakan sebagai rawa sorong.

"Bot bersama peralatan dan enjin yang telah diubahsuai itu dianggarkan bernilai RM24,000 dirampas dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Perikanan 1985 kerana melakukan aktiviti menangkap ikan tanpa lesen yang sah," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Noor Azreyanti berkata, pukat rawa sorong diharamkan penggunaannya kerana boleh memerangkap, memupuskan spesies ikan yang lebih kecil dan benih udang termasuk merosakkan ekosistem dasar laut negara serta mengancam sumber rezeki nelayan tradisional yang lain.

Tambahnya, nelayan diingatkan supaya mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan yang telah diperuntukkan serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

"Pihak Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang di perairan negara.

"Pihak Zon Maritim Kuala Kedah mengalu-alukan aduan dan maklumat sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut boleh disalurkan melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579," ujarnya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!