Tarik sokongan terhadap kerajaan PN, Johor mungkin ada MB Interim

Osman (kanan) menyerahkan sumbangan bakul makanan di Kempas pada Khamis.
Osman (kanan) menyerahkan sumbangan bakul makanan di Kempas pada Khamis.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Johor berkemungkinan mempunyai Menteri Besar Interim jika UMNO Johor mengikut jejak langkah Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti, yang menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Bekas Menteri Besar, Datuk Osman Sapian berkata, ia berdasarkan titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada 23 Jun lalu yang menitahkan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bersatu hati membantu rakyat yang terjejas pandemik Covid-19.

ADUN Kempas itu turut menyatakan Sultan Ibrahim sebelum ini telah mengingatkan wakil rakyat agar tidak berebut kuasa dan jika ingkar berkemungkinan DUN akan bubar sekali gus berlakunya Pilihan Raya Negeri (PRN) di Johor.

"Johor ini unik, walaupun berpandukan tindakan di peringkat Persekutuan, namun Sultan Ibrahim mempunyai kata pemutus berlandaskan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri.

"Sekiranya UMNO Johor sama tekadnya dengan MKT UMNO, maka akan berlaku ketidakstabilan politik negeri. Berdasarkan titah Sultan Ibrahim sebelum ini, baginda tidak akan bersetuju pergolakan politik berlaku di Johor sehingga menyebabkan berlaku pertukaran lagi Menteri Besar buat kali keempat dalam tempoh satu penggal.

"Justeru, saya berpandangan Sultan Ibrahim mungkin menitahkan pelantikan Menteri Besar Interim untuk mengetuai pimpinan kerajaan negeri sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan bakul makanan kepada penduduk di kawasan Kempas di sini pada Khamis.

Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Ayer Hitam itu menambah, sekiranya UMNO Johor menarik sokongan terhadap PN Johor, kerajaan negeri yang diterajui Datuk Hasni Mohammad akan kehilangan majoriti sekali gus menyebabkan Pakatan Harapan (PH) Johor lebih kukuh dengan 27 kerusi.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kerajaan negeri ketika ini diketuai UMNO Johor dengan sokongan PN Johor membabitkan Bersatu dan Pas memiliki majoriti tipis, 29 kerusi.

"UMNO Johor mempunyai 14 kerusi, MIC (2), Bersatu (12) manakala Pas pula satu kerusi membentuk kerajaan negeri ketika ini dengan majoriti 29 kerusi.

"Setakat ini, tidak tahu ke mana arah tuju UMNO Johor. Justeru, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor yang juga Menteri Besar, Datuk Hasni Mohamnad perlu nyatakan kedudukan mereka pada kadar segera.

"Ini penting supaya tindakan seterusnya dapat diambil sekali gus dapat mengelak situasi ketidakstabilan politik di Johor berpanjangan yang hanya akan menyusahkan rakyat," katanya.