Masih terlalu awal untuk sahkan kerajaan PN tumbang

Pemilihan parti UMNO ditangguhkan selama 18 bulan sehingga awal 2023. Gambar kecil: Mujibu Abd Muis
Pemilihan parti UMNO ditangguhkan selama 18 bulan sehingga awal 2023. Gambar kecil: Mujibu Abd Muis
A
A
A

SHAH ALAM - Dakwaan kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan tumbang disebabkan tindakan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menarik balik sokongan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin masih terlalu awal untuk ditafsirkan.

Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abd Muis berkata, secara asasnya, kerajaan PN sudah tumbang kerana majoriti dipegang oleh UMNO, namun masih terlalu awal untuk disahkan apabila ramai Menteri yang masih 'tutup mulut'.

"Hakikatnya, PN sudah tumbang jika secara pukal keseluruhan parlimen UMNO yang berada di parlimen itu bersetuju dengan keputusan yang diumumkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Zahid Hamidi malam tadi.

"Cuma dalam keadaan sekarang, kita tidak boleh memberi pengesahan kerana jumlah kerusi masih belum dibuat.

"Hanya ada dua cara mengesahkan kerajaan PN tumbang iaitu pertama buka parlimen dan adakan usul undi tidak percaya dan kedua, persembahkan kembali kepada Yang Dipertuan-Agong, siapa yang ada majoriti," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Tambahnya, terdapat beberapa persoalan yang harus dipertimbangkan jika UMNO membuat keputusan drastik untuk menarik balik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional.

"Secara 'rule of the thumb', bila UMNO buat keputusan begini, kita boleh berfikiran bahawa PN sudah tumbang. Namun, persoalannya adakah UMNO kukuh (solid) kerana majoriti yang jadi menteri tidak lagi mengeluarkan sebarang kenyataan.

"Dalam keadaan sekarang ini, adakah UMNO sudah menjadi sedikit dominan dalam kerajaan kerana ahli nya menyandang jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kanan walaupun tidak begitu dominan dalam kepimpinan parti UMNO sendiri?

Artikel Berkaitan:

"Ini juga sedikit sebanyak memberikan membuatkan rakyat dalam dilema sama ada kedudukan ini sebenarnya untuk memecahkan UMNO atau strategi menarik sokongan memperkukuhkan Perikatan Nasional," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: UMNO tarik sokongan terhadap Muhyiddin serta-merta

Terdahulu, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO untuk menarik balik sokongan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkuat kuasa serta-merta selepas hampir lima jam bermesyuarat, malam tadi.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ketetapan tersebut diambil berpandukan tujuh kegagalan kerajaan PN antaranya menangani pandemik Covid-19, mempertahankan sistem demokrasi berparlimen, menguruskan bantuan dan tuntutan rakyat secara berkesan.

Mujibu juga berpandangan keputusan Datuk Seri Zahid Hamidi ini tidak mewakili seluruh UMNO atau membuktikan bahawa sokongan majoriti Ahli Parlimen (MP) masih kuat.

"Setakat ini kita lihat menteri-menteri di dalam UMNO tidak memberi apa-apa kenyataan. Namun, jika kita perhatikan sejarah lama parti ini, semasa perhimpunan Agong yang lalu, apabila UMNO telah mengesahkan untuk tidak menyokong PN, masih ada perjumpaan berasingan menteri-menteri dari UMNO dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan mereka mengatakan bahawa mereka masih bersama dengan PN.

"Jadi mungkin tidak lari atau akan berulang perkara yang sama bakal dilakukan oleh menteri-menteri UMNO. Ini yang saya jangkakan kerana jelas dalam UMNO sendiri memang ada tiga kem yang berbeza.

"Pertama dengan Datuk Seri Zahid, kedua, bersama PN, dan juga blok ketiga seperti Datuk Seri Najib Tun Razak. Kita juga boleh lihat bagaimana reaksi Ahli Parlimen UMNO yang sering kali berbolak balik. Situasi begini memang boleh berlaku dalam keadaan parti UMNO," katanya.

Selain itu, Mujibu berpendapat sekiranya Presiden UMNO mengambil tindakan dan memecat ahli-ahli yang tidak menghormati keputusan mesyuarat Majlis tertinggi parti tersebut, ia hanya akan mengeruhkan keadaan situasi politik UMNO.

"Pada saya, jika ini berlaku, akan lebih memarahkan situasi politik umno dan sudah tentu jika UMNO goyang maka PN juga akan goyang kerana dalam PN kerusi UMNO itu yang paling besar dan membolehkan majoriti dibentuk.

"Apabila perdana menteri tidak memiliki kuasa dan tidak boleh menggunakan kuasa untuk memberikan penawaran dan ganjaran kepada sokongan, maka permasalahan di UMNO itu sukar untuk diredakan.

"Sekarang situasi sudah berubah. Perdana Menteri tidak lagi mempunyai kuasa untuk berbuat begitu jadi tidak mustahil orang-orang UMNO akan memikirkan kelebihan masing-masing atau kehendak mereka berbanding kepentingan parti," katanya.

Mujibu berkata, agak sukar untuk kesemua 38 anggota parlimen UMNO untuk akur dengan keputusan Majlis Tertinggi UMNO tersebut.

"Kalau lihat keadaan politik UMNO, memang sukar untuk semua ahli menyokong keputusan itu. Kita juga mengetahui ahli-ahli parlimen seperti Datuk Seri Zahid Hamidi, Datuk Seri Najib Tun Razak dan mereka yang tidak memiliki jawatan dan kedudukan dalam kerajaan barangkali tidak akan menyertai PN.

"Kluster PN atau kluster kerajaan dan kluster tidak kerajaan dalam UMNO ini bakal menentukan hala tuju UMNO. Jika kedua-dua kluster ini tidak boleh dapatkan kesepakatan bersama, yang merana adalah PN kerana majoriti ada di situ.

"Untuk meredakan perkara ini, memang memerlukan pujukan dan sifat berhati-hati menanganinya atau mereka akan lingkup," katanya.