X

Kindly register in order to view this article
!

KSM perkenal dasar baharu bekerja dari rumah

Saravanan menyampaikan bantuan kotak makanan kepada M Tamil Harase, 52, dari Jalan Besar Tapah sempena program agihan bakul makanan bagi kawasan Parlimen Tapah di Dewan Gandhi pada Khamis.
A
A

TAPAH - Kementerian Sumber Manusia akan memperkenalkan satu dasar baharu 'bekerja dari rumah' bagi menambah baik sistem kerja sepanjang tempoh pandemik Covid-19 ini.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, dasar baharu itu diperlukan selepas pihaknya menerima banyak aduan pekerja yang terkesan akibat salah laku majikan terutama membabitkan kes tidak dibenarkan bekerja dari rumah.

"Kita sentiasa menerima aduan daripada rakyat dan warga kerja bahawa masih terdapat majikan mengambil kesempatan walaupun kerajaan sudah mengumumkan ketetapan yang perlu dipatuhi.

"Kementerian sedang mengambil tindakan, amaran juga telah diberikan kepada mereka dan dalam masa terdekat ini, kementerian akan mengeluarkan dasar baharu berkaitan bekerja dari rumah dengan mengambil kira ketetapan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada," katanya.

Beliau berkata demimian ketika ditemui pemberita sempena program agihan bakul makanan bagi kawasan Parlimen Tapah di Dewan Gandhi di sini pada Khamis.

Menurutnya, berdasarkan data aplikasi 'Working For Workers' (WFW) yang dilancarkan awal Mei lalu, sebanyak 5,177 aduan telah diterima setakat ini dan aduan majikan tidak benarkan bekerja dari rumah adalah paling tinggi iaitu 2,198 berbanding kes lain.

"Daripada jumlah keseluruhan aduan diterima itu, sebanyak 3,731 aduan telahpun diambil tindakan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Ahli Parlimen Tapah itu berkata, sejak hari pertama pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac tahun lalu, lebih 37,000 kotak makanan telah diedarkan kepada isi rumah yang terkesan di seluruh kawasan itu.

Katanya, bantuan sama turut diagihkan ke perkampungan orang asli dan pedalaman bagi memastikan masyarakat di kawasan itu tidak terputus bekalan makanan.

"Perdana Menteri di bawah pakej Pemulih (Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi) telah memperuntukan RM300,000 kepada setiap Parlimen dan kita akan sama-sama pastikan dana ini digunakan sebaiknya agar penduduk di sini tidak menghadapi masalah makanan dan sebagainya," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!