Masjid, surau di Pulau Pinang kembali diimarahkan

Garis panduan yang dikeluarkan JHEAINPP.
Garis panduan yang dikeluarkan JHEAINPP.
A
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan negeri Pulau Pinang membenarkan perlaksanaan solat Jumaat dengan kehadiran jemaah tidak melebihi 150 orang di masjid negeri dan daerah bermula minggu ini.

Perkara itu diputuskan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAINPP) selepas Pulau Pinang memasuki peralihan Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) seperti diumumkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) baru-baru ini.

Dalam satu pekeliling yang dikeluarkan pada Khamis, JHEAINPP turut membenarkan solat Jumaat diadakan di masjid kariah dengan jumlah jemaah tidak melebihi 100 orang, manakala tidak melebihi 50 orang untuk perlaksanaan di semua surau Jumaat di negeri ini.

Pengarah JHEAINPP, Mohd Zakuan Zakaria berkata, garis panduan dan tatacara keagamaan di masjid dan surau bagi tempoh perlaksanaan Fasa 2 PPN telah melalui perbincangan khas yang diadakan bersama Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang, Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman dan Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor pada Khamis.

Menurut beliau, selain ketetapan bagi perlaksanaan solat Jumaat, pihaknya turut membenarkan solat fardu diadakan di semua masjid dan surau di negeri ini dengan kapasiti kehadiran jemaah yang sama.

"Solat sunat Aidiladha juga dibenarkan dilakukan di semua masjid dan surau dengan jumlah kehadiran jemaah seperti ditetapkan bagi masjid negeri dan daerah, masjid kariah serta surau.

"Kita turut membenarkan solat jenazah dan pengebumian diadakan dengan kehadiran tidak melebihi 30 orang terutama imam, ahli jawatankuasa kariah dan keluarga terdekat sahaja," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Zakuan berkata, aktiviti ibadah korban dibenarkan untuk dijalankan dengan mengikut Garis Panduan Ibadah Korban Negeri Pulau Pinang Dalam Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Covid-19 Tahun 1442H/2021M.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun katanya, pihaknya melarang sebarang majlis pengimarahan atau sosial diadakan termasuk memasak atau mengadakan jamuan selepas solat sunat Aidiladha.

Tambahnya, aktiviti menziarahi kubur masih lagi tidak dibenarkan sehingga hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Zakuan turut mengingatkan sejak 25 November tahun lalu sebanyak 19 buah masjid telah ditutup berikutan berlaku kes penularan Covid-19 dan semua pentadbir, ahli jawatankuasa masjid serta surau perlu memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sentiasa diamalkan setiap masa.

Katanya, arahan mengenai perlaksanaan aktiviti masjid dan surau akan dikeluarkan dari masa ke masa tertakluk kepada situasi semasa Covid-19 dan nasihat daripada MKN.