Sindiket pengedaran arak seludup tumpas

Muhammad (tengah) menunjukkan arak yang dirampas pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam pada Khamis.
Muhammad (tengah) menunjukkan arak yang dirampas pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Berselindung di sebalik premis di kawasan industri kecil, itu antara taktik digunakan sindiket pengedaran arak tidak bercukai untuk mengaburi pihak berkuasa.

Bagaimanapun taktik yang digunakan sindiket yang bergiat aktif di sekitar Lembah Klang dan utara ini berjaya dilumpuhkan dalam serbuan yang dijalankan di sebuah premis di di Jalan Sellathevan, Kampung Sungai Kandis pada Rabu.

Komander Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA), Senior Asisten Komisioner Muhammad Abdul Halim berkata, sebanyak 2,140 kotak berisi arak termasuk kenderaan bernilai lebih RM1.6 juta dirampas dalam serbuan yang dijalankan Cawangan Risik Briged Tengah PGA.

Katanya, PGA merampas arak berjumlah RM1.2 juta melibatkan 600 kotak arak jenama Huster (kotak hitam), 200 kotak arak jenama Huster (kotak biru), 880 kotak arak jenama Tsingtao 330 mililiter, 450 kotak arak jenama Tsingtao 600 mililiter, sebuah lori 10 tan, dua buah lori tiga tan, sebuah van dan sebuah kereta yang dipercayai digunakan dalam menjalankan aktiviti penyeludupan.

"Tiga suspek lelaki warga tempatan dan lima lelaki warga asing berumur antara 25 hingga 57 tahun turut ditahan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam pada Khamis.

Muhammad (tengah) pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam pada Khamis.
Muhammad (tengah) pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam pada Khamis.

Katanya, jumlah keseluruhan rampasan arak adalah 40,320 tin dan 5,400 botol yang mengandungi alkohol empat peratus hingga 16.3 peratus melibatkan 19,809.60 liter.

"Rampasan arak bernilai RM1.2 juta dan nilai keseluruhan ialah RM1,658,855.70.

Artikel Berkaitan:

"Serbuan dan tangkapan ini sekali gus berjaya melumpuhkan sindiket pengedaran arak tidak bercukai sekitar Lembah Klang yang menggunakan sebuah premis," katanya.

Menurutnya, risikan dijalankan mendapati sindiket ini merupakan salah satu daripada beberapa sindiket yang bergiat aktif di Lembah Klang dan utara.

"Kemampuan sindiket ini beroperasi secara tersusun merupakan cabaran dalam menjayakan operasi ini.

"Risikan lanjut masih diteruskan untuk mengenal pasti rangkaian sindiket ini meliputi pembekal, rangkaian jaringan pelanggan dan ahli kumpulan yang masih bebas," katanya.