DUN Pulau Pinang bersidang 1 September

Kon Yeow
Kon Yeow
A
A
A

GEORGETOWN - Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang akan mula bersidang pada 1 September depan.

Perkara itu dicadangkan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah melalui warkah yang termaktub di Istana Negara pada 6 Julai lalu.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, Yang di-Pertuan Agong telah menzahirkan pandangan berhubung keperluan untuk mengadakan sidang DUN dengan segera dan memperkenan permohonan Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang agar sidang DUN dapat diadakan selepas tempoh Proklamasi Darurat yang dijangka berakhir pada 1 Ogos 2021.

"Kerajaan negeri dan seluruh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan tahniah kepada Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang atas hasil rundingan bersama Yang di-Pertuan Agong dengan perkenan yang telah diberikan menurut Seksyen 15 (1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 selaras dengan nasihat YAB Perdana Menteri dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong, kerajaan negeri mencadangkan supaya DUN Pulau Pinang bersidang seperti biasa pada 1 September mengikut peraturan-peraturan mesyuarat yang berkaitan," katanya menerusi satu kenyataan di sini pada Khamis.

Kon Yeow berkata, bagi memastikan kelancaran dan perjalanan sidang DUN dapat dijalankan dengan selamat, kerajaan negeri akan sentiasa mendapatkan nasihat daripada MKN dan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) berhubung prosedur serta kaedah yang perlu dilaksanakan bagi memastikan kawalan penularan wabak Covid-19.

Artikel Berkaitan: