Kes cubaan culik di Wakaf Tembesu, ini penjelasan polis

Abdul Rahim (kiri) menyerahkan sijil penghargaan kepada salah seorang penerima sempena perhimpunan bulanan IPD hari ini. (Gambar kecil:Tular di laman sosial dan aplikasi WhatsApp kononnya ada cuba culik di Perumahan Wakaf Tembesu, Kuala Nerus, Khamis lalu).
Abdul Rahim (kiri) menyerahkan sijil penghargaan kepada salah seorang penerima sempena perhimpunan bulanan IPD hari ini. (Gambar kecil:Tular di laman sosial dan aplikasi WhatsApp kononnya ada cuba culik di Perumahan Wakaf Tembesu, Kuala Nerus, Khamis lalu).
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Polis menafikan berlakunya kes cubaan culik di kawasan perumahan Wakaf Tembesu, Kuala Nerus, oleh dua lelaki yang menaiki van jenis urban pada Khamis lalu sebagaimana yang tular dalam media sosial.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din berkata, pihaknya memang ada menerima satu laporan daripada seorang wanita berusia 22 tahun dari Perumahan Wakaf Tembesu, Kuala Nerus, pada hari kejadian.

"Menurut laporan dibuat, wanita tersebut memaklumkan kejadian berlaku jam 9.30 pagi. Semasa berada di hadapan rumah, dia ternampak sebuah van berwarna kelabu dinaiki empat lelaki yang secara tiba-tiba berhenti di hadapan rumahnya.

"Sejurus kemudian, dua lelaki bertopeng keluar daripada kenderaan terbabit dan terus masuk ke dalam kawasan rumahnya kerana pintu pagar tidak berkunci.

"Disebabkan terlalu takut kerana tinggal berseorangan, dia terus masuk ke dalam rumah dan mengunci pintu rumahnya sebelum menghubungi kakaknya yang tinggal di rumah berhampiran memaklumkan kejadian," katanya hari ini.

Beliau berkata sedemikian ketika ditemui selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu di Dataran Kawad, di sini, hari ini.

Abdul Rahim berkata, siasatan lanjut mendapati kejadian berkenaan tidak ada kena mengena dengan cubaan culik, malah mangsa yang terlibat adalah orang dewasa dan bukannya kanak-kanak seperti yang ditularkan di laman sosial.

"Punca kejadian masih dalam siasatan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan kerana menceroboh masuk kawasan rumah tanpa kebenaran.

Sejak Khamis lalu, kakak pengadu memuat naik satu kenyataan dalam akaun Facebooknya berhubung kejadian menimpa adiknya yang konon hampir diculik semasa berada di garaj kereta rumahnya di kawasan Perumahan Wakaf Tembesu, Kuala Nerus.

Sementara itu, Abdul Rahim memberitahu siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti individu yang bertangunggjawab membuat status mengenai kejadian tidak benar di laman sosial sehingga menimbulkan kegusaran kepada masyarakat.

Katanya, individu yang dikenal pasti berkongsi berita berkenaan sehingga menjadi tular juga akan dipanggil untuk siasatan.