Ahmad Zahid perlu berundur secara terhormat

Mohd Helmi Buang
Mohd Helmi Buang
A
A
A

PONTIAN - Ketua Pemuda UMNO Pontian, Mohd Helmi Buang sekali lagi mengulangi pendirian bahawa Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi perlu berundur secara terhormat.

Menurut beliau, apa yang disuarakan adalah pandangannya yang tidak mahu UMNO terus dibelenggu dengan keputusan yang menggusarkan rakyat terutama berhubung penarikan sokongan parti itu terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN).

"Saya tidak mahu melihat parti ini asyik buat keputusan memecahbelahkan parti dan menggusarkan rakyat yang merupakan pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"Keputusan yang sepatutnya dibuat sekarang ini adalah memihak kepada rakyat ketika negara masih dilanda pandemik Covid-19," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Mohd Helmi berkata, Ahmad Zahid perlu berundur bagi membolehkan UMNO digerakkan atas landasan yang relevan dengan situasi semasa kini.

"Kita akur dengan keputusan MKT menarik balik sokongan terhadap kerajaan PN. Rakyat melihat keputusan yang dibuat ini, apa musibah dan kesannya kepada rakyat? Itu menjadi persoalan kini.

"Sekarang ini, kita tengah sibuk hendak bantu rakyat, buat macam-macam untuk meringankan beban mereka yang terkesan dengan Covid-19. Tetapi tiba-tiba MKT tarik sokongan kepada PN," katanya.

Tambah Mohd Helmi, kedudukan kerajaan negeri Johor yang dibentuk bersama PN dan Barisan Nasional (BN) perlu diperjelaskan di peringkat negeri dan parti.

Artikel Berkaitan:

"Pastinya kedudukan kerajaan negeri Johor menjadi tanda tanya memandangkan ia dibentuk hasil gabungan bersama PN. Pimpinan parti di peringkat Pusat dan negeri perlu memperjelaskannya supaya tidak tanda tanya kepada ahli parti serta rakyat," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN:Zahid terus digesa berundur, beri peluang muka baharu

Sudah sampai masa kluster besar UMNO berundur

Sinar Harian sebelum ini melaporkan gesaan Mohd Helmi agar kluster besar dalam UMNO terutama Ahmad Zahid perlu berundur bagi mengelakkan kekalahan besar pada PRU14 berulang pada PRU15 nanti.

Jelasnya, konflik politik yang berlaku hari ini bukan disebabkan pertembungan antara UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tetapi berpunca daripada kuasa dan kluster besar iaitu beberapa pemimpin lama dalam UMNO yang enggan berundur.