Dana RM90j: SPRM belum peroleh cukup bukti

Dr Mahathir ketika berucap pada majlis pelancaran loji baharu itu.
Dr Mahathir ketika berucap pada majlis pelancaran loji baharu itu.
A
A
A

KLANG - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak menolak kemungkinan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) belum memperoleh bukti yang mencukupi berhubung dana RM90 juta 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dimasukkan ke akaun rasmi Pas.

Sehubungan itu katanya, beliau tetap berpegang bahawa kenyataan dikeluarkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri, semalam bahawa tiada wang 1MDB dimasukkan ke akaun Pas masih belum muktamad.

“Ini kerana SPRM belum mendapatkan maklumat penuh kerana siasatan dan ia akan ambil masa.

“Jadi, saya percaya SPRM memerlukan lebih masa untuk lakukan siasatan bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut berhubung perkara itu (dana 1MDB dimasukkan ke akaun rasmi Pas),”katanya kepada pemberita sebaik selesai melancarkan loji baharu Metrod Sdn Bhd, di sini, hari ini.

Jelas Dr Mahathir lagi, terdapat banyak lagi kes kehilangan wang yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, namun SPRM memerlukan lebih masa untuk menjalankan siasatan terperinci.

Semalam, SPRM mengesahkan bahawa tiada kemasukan dana 1MDB berjumlah RM90 juta ke dalam akaun rasmi Pas.

Perkara itu didedahkan Mohd Shukri dalam satu sidang media di Terengganu selepas agensi itu melakukan siasatan dan tidak menjumpai sebarang transaksi yang membuktikan dakwaan tersebut.

Kontroversi mengenai dana RM90 juta itu mulai timbul selepas Sarawak Report melalui satu artikel mendedahkan bahawa dana berjumlah RM90 juta dipercayai dimasukkan ke dalam akaun bank pimpinan tertinggi Pas bagi menarik mereka menyokong UMNO dan BN.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN:

SPRM: Tiada duit RM90 juta masuk akaun Pas

Pas ambil tindakan jika terus fitnah terima dana RM90 juta