PKPD: Polis tambah SJR di Seremban

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

SEREMBAN - Polis Seremban akan menambah dua sekatan jalan raya (SJR) di Seremban susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula tengah malam ini.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim berkata, dua SJR itu ialah di sempadan Rantau menghala ke Port Dickson.

"Kami sudah laksanakan lapan SJR dan akan menambah dua lagi bagi memastikan pergerakan orang ramai dapat dikawal sebaiknya.

"Seramai 300 anggota polis termasuk Anggota Tentera Malaysia(ATM) akan ditugaskan sepanjang PKPD ini, serta pasukan pemantau turut dipertingkatkan," katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan sumbangan barangan keperluan menerusi program Op Bantu kepada Muhamad Kamarudin Musa, 40, di Taman Permai di sini, pada Khamis.

Mengulas mengenai kebenaran pekebun durian merentas daerah Mohd Said berkata, polis tiada halangan dan mereka boleh membuat permohonan merentas daerah bagi melihat tanaman di tempat lain.

"Atas faktor ekonomi kita boleh beri kebenaran merentas daerah bukan saja pada pekebun durian tetapi juga semua pekebun dengan syarat mereka ada surat kebenaran dari Kementerian Pertanian.

"Jadi tak perlu risau, boleh buat permohonan di balai polis berhampiran. Kami cuma nak sekat mereka yang bergerak tanpa tujuan," katanya.

Dalam pada itu berkenaan program Op Bantu, beliau berkata, seramai 20 keluarga sudah dibantu setakat ini.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama masyarakat diminta berkongsi maklumat dengan polis untuk mengesan mereka yang terjejas susulan pandemik Covid-19 serta memerlukan bantuan.

"Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban juga akan menggunakan dana yang ada untuk diinfakkan bagi membantu mereka yang memerlukan," katanya.