X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 08 Disember 2021

Rayu kerajaan benar premis kitar semula beroperasi

Sathia (kiri) bersama AJK persatuan berdiri di hadapan sebuah premis barangan kitar semula yang ditutup sejak sebulan yang lalu sekaligus memberi kesan kepada rangkaian sektor berkaitan.
A
A

IPOH - Persatuan Peniaga Barang Terpakai Ipoh Perak merayu agar kerajaan memberi kelonggaran premis kitar semula dan barangan terpakai dibuka dalam fasa kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Timbalan Pengerusinya, R Sathia berkata, penutupan premis tersebut menjejaskan rantaian sektor berkenaan melibatkan banyak pihak termasuk industri dan individu perseorangan.

Menurutnya, apabila premis mereka ditutup, pengutip barangan kitar semula yang terdiri dari golongan berpendapatan rendah serta gelandangan tidak dapat menjual barang-barang berkenaan.

"Keadaan ini sangat membimbangkan kerana bukan sahaja menjejaskan pendapatan kami malah punca pendapatan individu perseorangan hingga syarikat persendirian. Sebagai contoh gelandangan mereka kutip barang kitar semula tapi tak boleh nak jual.

"Semua sektor dari restoran hingga kilang. Sekurang-kurangnya ada 30 peratus barangan kitar semula yang mereka hasilkan, jadi di mana mereka nak melupuskan barang-barang kitar semula ini apabila kami tidak boleh beroperasi," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Mengulas lanjut, Sathia berkata, rangkaian yang terlibat dalam dalam perniagaan berkenaan melibatkan sektor pembinaan, perindustrian dan peruncitan dan kesemua sektor itu tidak boleh dipisahkan daripada perniagaan barang lusuh atau kitar semula.

Katanya, lebih 200 syarikat yang mengusahakan perniagaan barangan terpakai dan kitar semula di negeri ini berada dalam keadaan tertekan setelah lebih sebulan tidak dapat beroperasi.

"Sudah masuk bulan kedua, kalau berlanjutan kami terpaksa memberhentikan pekerja sebab tak mampu nak bayar gaji pekerja. Bil utiliti tetap berjalan seperti biasa walaupun tidak boleh beroperasi.

"Dalam tempoh PKP sebelum ini kami diletakkan sebagai bukan essential dan kami akur. Cuma dalam fasa kedua ini benarkan kami beroperasi. Lagi pun perniagaan kami bukan macam pasar raya, kita tiada pelanggan yang datang berpusu-pusu. Kami boleh jalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan," katanya.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa persatuan berkenaan, S Thiagarajan turut merayu kepada kerajaan supaya memberikan rebat bagi bil utiliti termasuk penggunaan internet kerana mereka amat terbeban.

Menurutnya, penangguhan bayaran cukai pendapatan selain levi pekerja asing juga dapat dipertimbangkan kerana mereka terpaksa menanggung kos yang tinggi.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!