Tidak puas hati keputusan Zahid, MKT dan MP UMNO boleh rujuk RoS

MKT UMNO sudah diberi mandat untuk menentukan tempoh parti itu menarik kembali sokongan terhadap kerajaan PN pada PAU 2020 Mac lalu.
MKT UMNO sudah diberi mandat untuk menentukan tempoh parti itu menarik kembali sokongan terhadap kerajaan PN pada PAU 2020 Mac lalu.
A
A
A

SHAH ALAM - Mana-mana ahli Parlimen UMNO disarankan merujuk Jabatan Pertubuhan Pendaftar Malaysia (RoS) sekiranya masih tidak berpuas hati dengan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang memuktamadkan ketetapan parti untuk keluar daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) serta-merta, pada Khamis.

Tokoh veteran UMNO, Dr Muhammad Khir Toyo berkata, dari sudut perundangan, keputusan MKT yang diumumkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi adalah tepat dan tidak bertentangan dengan ketetapan usul Perhimpunan Agung UMNO (2020).

Jelas beliau, meskipun ahli-ahli Parlimen UMNO mempertahankan dakwaan usul diputuskan dalam PAU 2020 adalah UMNO akan kekal bersama kerajaan PN sehingga Parlimen dibubarkan, namun usul itu sebenarnya telah dipinda dan bukan dipersetujui secara sebulat suara tanpa bahas.

"Dalam konteks memuktamadkan usul menarik sokongan daripada kerajaan PN, keputusan MKT tepat kerana minit mesyuarat membuktikan 147 UMNO bahagian di seluruh negara sebenarnya mengusulkan UMNO menarik sokongan daripada kerajaan PN serta-merta pada awal tahun lalu, manakala lebih 30 UMNO bahagian lagi mahu parti keluar kerajaan PN sehingga Parlimen dibubarkan.

"Lagipun, usul asal dikemukakan dalam PAU 2020 sebenarnya telah dibahas dan dipinda oleh perwakilan, yang memberi mandat kepada Presiden UMNO dan ahli-ahli MKT bagi menentukan tarikh bersesuaian untuk parti bakal menarik sokongan daripada kerajaan PN.

"Justeru, jika ahli-ahli Parlimen UMNO tidak berpuas hati dengan pengumuman Zahid tengah malam semalam (Khamis), mereka harus merujuk kepada RoS untuk mendapatkan pengesahan sama ada kefahaman mereka terhadap usul diputuskan PAU 2020 betul atau tidak," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Dr Mohamad Khir Toyo
Dr Mohamad Khir Toyo

Beliau berkata demikian bagi mengulas implikasi keputusan MKT yang diumumkan Ahmad Zahid lewat malam Rabu terhadap masa hadapan 38 ahli Parlimen UMNO, susulan MKT sudah memutuskan untuk menarik sokongan daripada kerajaan PN serta-merta.

Artikel Berkaitan:

Selepas hampir lima jam bermesyuarat, Ahmad Zahid menegaskan ketetapan tersebut diambil berpandukan tujuh kegagalan kerajaan PN yang diterajui Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam memenuhi aspirasi yang digariskan UMNO.

Mesyuarat MKT Rabu malam turut memutuskan UMNO tidak sesekali menyokong sebarang usaha mencalonkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri atau kerajaan yang ditunjangi oleh DAP-Pakatan Harapan (PH).

Ironinya, keputusan itu dibuat setelah Muhyiddin mengumumkan pelantikan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sebagai Menteri Kanan Luar Negara.

Sejak PAU 2020 diadakan pada Mac lalu, ketetapan usul diputuskan oleh badan pembuat keputusan tertinggi UMNO menimbulkan perdebatan dalam kalangan ahli-ahli Parlimen UMNO yang cenderung menyokong kerajaan PN serta pucuk kepimpinan parti ditunjangi Ahmad Zahid.

Beberapa ahli Parlimen UMNO seperti Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz dan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim berpandangan usul diputuskan dalam PAU 2020 adalah usul asal dicadangkan MKT iaitu UMNO akan terus menyokong kerajaan PN sehingga Parlimen dibubarkan.

Bagaimanapun, pucuk kepimpinan UMNO termasuk Ahmad Zahid menakrifkan usul diputuskan PAU 2020 adalah parti memberi mandat kepada MKT untuk membuat keputusan menarik sokongan daripada kerajaan PN, sebelum 1 Ogos atau bila-bila masa difikirkan sesuai.

Untuk rekod, jumlah keseluruhan ahli Parlimen BN adalah 41 orang, manakala ahli Parlimen UMNO terdiri daripada 38 orang.

Mengulas mengenai pendirian yang bakal diambil ahli-ahli Parlimen UMNO, Muhammad Khir yang juga bekas Menteri Besar Selangor itu berkeyakinan majoriti mereka akan patuh terhadap ketetapan terkini parti.

Tambah Muhammad Khir, kesemua pemimpin UMNO yang berjawatan dalam kerajaan PN termasuk jawatan Timbalan Perdana Menteri, sepatutnya meletakkan jawatan dengan serta-merta bermula hari ini bagi memastikan aspirasi UMNO dipenuhi.

"Sekiranya mereka enggan, UMNO perlu mengambil tindakan disiplin dan memecat mereka kerana sebarang keputusan yang berlawanan dengan ketetapan terkini MKT adalah bertentangan dengan kehendak akar umbi.

"Mereka kena ingat, keputusan UMNO menarik sokongan daripada kerajaan PN adalah kehendak akar umbi dan majoriti daripada 191 UMNO bahagian, bukan kehendak Presiden UMNO," katanya.

Dr Muhammad Khir turut mempersoalkan sama ada ahli-ahli Parlimen UMNO sanggup bertanding pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) di bawah tiket bebas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Jelas beliau, sekiranya mereka mahu meneruskan cita-cita untuk memegang jawatan besar dalam kerajaan PN, ahli-ahli Parlimen berkenaan sebenarnya menjayakan rancangan Muhyiddin dan Bersatu untuk menghancurkan UMNO.

"Sekarang ini bola terletak di kaki 38 ahli-ahli Parlimen UMNO untuk menentukan nasib mereka. Saya yakin jika mereka keluar parti, Bersatu pastinya akan senang hati terima mereka.

"Cuma, saya berpandangan Muhyiddin harus berjiwa besar untuk melepaskan jawatan Perdana Menteri dan memberi ruang seorang Perdana Menteri interim mengetuai kerajaan baharu sehinggalah krisis Covid-19 dapat dibendung dan immuniti berkelompok tercapai," katanya.