PH kekal blok terbesar: Mujahid

Mujahid
Mujahid
A
A
A

SHAH ALAM - Pakatan Harapan (PH) kekal sebagai blok gabungan parti terbesar selepas UMNO menarik sokongan serta-merta terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, bagaimanapun PH yang mempunyai jumlah 89 ahli parlimen itu tidak mencukupi untuk membentuk kerajaan baharu.

Menurutnya, baki sokongan untuk sebuah kerajaan yang kuat dan stabil masih berada pada ahli parlimen di blok Barisan Nasional (BN), Sabah dan Sarawak sementara fraksi Pengerusi Interim Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad menanti peluang bagi tujuan sama.

“Jatuhnya Perikatan Nasional (PN) secara teknikal adalah jatuhnya kegagalan, keangkuhan dan lebih utama satu pengkhianatan.

“PH kekal konsisten mahukan mandat rakyat dikembalikan, UMNO tarik diri dari PN dan jelas dari kenyataan presidennya mahukan pilihan raya umum (PRU) setelah kelompok imuniti tercapai.

“Sekali lagi kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong diperlukan bagi merealisasikan kerajaan yang kukuh dan stabil untuk menangani Covid-19 dan ekonomi yang parah,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.

Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada Rabu membuat keputusan menarik balik sokongan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkuat kuasa serta-merta dan meminta pemimpin itu meletak jawatan.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ketetapan tersebut diambil berpandukan tujuh kegagalan kerajaan PN diterajui Muhyiddin dalam memenuhi aspirasi yang digariskan parti UMNO.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut Mujahid berkata, keputusan yang dibuat UMNO telah merintis lalun kepada kejatuhan kerajaan PN namun alternatif sebuah kerajaan kuat dan stabil seperti titah Yang di-Pertuan Agong masih belum kelihatan.

“Pilihan di hadapan masih samar hanya kerajaan interim sebagai remedi awal untuk menyambut kejatuhan PN,” ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN: UMNO tarik sokongan terhadap Muhyiddin serta-merta