X

Kindly register in order to view this article
!

England tak layak dapat penalti

Hjulmand (tengah) kecewa selepas pengadil memberikan sepakan penalti kepada England.
A
A

PENGENDALI Denmark, Kasper Hjulmand mengakui kecewa dengan cara pasukannya tersingkir selepas ditewaskan England 1-2 dalam aksi separuh akhir Euro 2020 di Stadium Wembley pada awal pagi Khamis.

Menurutnya, keputusan pengadil memberikan penalti kepada England yang membawa kepada jaringan kemenangan oleh Harry Kane itu tidak seharusnya berlaku.

"Penalti tersebut adalah satu keputusan yang silap oleh pengadil dan ia sangat mengganggu saya. Ia sangat sukar diterima untuk kalah dengan cara begini apatah lagi pemain sudah memberikan segalanya di atas padang.

"Ia satu keputusan serta kekalahan yang memeritkan untuk kami terima. Saya tidak boleh menggambarkan dengan kata-kata betapa saya menghargai pasukan ini dengan apa yang telah kami lalui sebelum ini.

"Mereka menunjukkan semangat juang yang tinggi, namun untuk kalah dengan cara begini mungkin kami memerlukan beberapa hari untuk memulihkan kekecewaan ini," katanya.

Pengadil perlawanan dari Belanda, Danny Makkelie memberikan sepakan penalti kepada England selepas pertahanan Denmark, Joakim Maehle menjatuhkan Raheem Sterling dalam kotak penalti.

Namun, penalti itu menimbulkan pertikaian dengan rakaman menunjukkan Maehle tidak menyentuh Sterling namun penalti tersebut tetap diberikan selepas pengadil memeriksa Video Bantuan Pengadil (VAR).

Bagaimanapun, Hjulmand tetap memberikan penghargaan dan mengucapkan tahniah kepada England yang mara ke perlawanan akhir selain memuji pengendali England, Gareth Southgate telah melakukan tugas yang baik bersama The Three Lions.

"Tahniah kepada England dengan kemenangan ini terutama kepada rakan saya iaitu Southgate. Saya telah melihat bagaimana hasil kerjanya bersama pasukannya itu terutama membangunkan pemain muda bersama pasukan," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!