Agong zahir ucapan takziah kepada keluarga bekas Panglima ATM

Foto Facebook Istana Negara
Foto Facebook Istana Negara
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga bekas Panglima Angkatan Tentera kelapan, Jeneral (B) Tan Sri Mohd Ghazali Che Mat yang meninggal dunia pada Rabu.

Istana Negara dalam kenyataan di laman Facebook rasminya menyatakan Seri Paduka Baginda turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Mohd Ghazali dan menzahirkan harapan supaya seluruh keluarga Allahyarham sabar serta tabah menghadapi suasana sedih dan pilu ini.

Seri Paduka Baginda selaku pemerintah tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) amat menghargai khidmat bakti, jasa serta pengorbanan Allahyarham kepada ATM dan juga negara.

“Seri Paduka Baginda mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh ALLAH SWT dan ditempatkan bersama para solihin,” menurut kenyataan itu.

Mohd Ghazali yang lahir pada 17 Disember 1930 di Lenggong, Perak pada awal penglibatan bersama ATM telah memulakan latihan Pra-Pegawai Kadet di Federation Military School (FMC), Port Dickson, Negeri Sembilan pada 1953.

Allahyarham yang terpilih menjalani Kursus Pegawai Kadet di Eaton Hall Cadet School, England selama enam bulan, meneruskan latihan di Royal Military Academy Sandhurst (RMA Sandhurst) selama 18 bulan bermula 1954 bersama lima Pegawai Kadet dari Tanah Melayu.

Mohd Ghazali yang memulakan perkhidmatan di Batalion Ke-2 Rejimen Askar Melayu Diraja (2 RAMD) sebagai Ketua Platun pernah dikurniakan pingat Panglima Gagah Berani (PGB) pada 1958 dan merupakan antara lima penerima pingat PGB terawal dalam sejarah ATM.

Allahyarham juga pernah ditugaskan sebagai pegawai staf operasi tentera (PSO Military) di Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) yang ditubuhkan untuk mengembalikan keamanan dan keselamatan negara setelah tercetusnya rusuhan kaum pada 13 Mei 1969.

Artikel Berkaitan:

Pada 1984, Allahyarham dilantik sebagai Panglima Tentera Darat selama setahun sebelum dilantik sebagai Panglima Angkatan Tentera kelapan dari 1985 hingga 1987.

Selepas bersara, Allahyarham berkhidmat sebagai Pengerusi Boustead Holdings Bhd dan Pengerusi The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP). - Bernama