Sila log masuk terlebih dahulu.

KDEBWM sasar tambah pusat kitar semula

Majlis penyerahan lori kompaktor bagi kutipan sampah domestik di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang dirasmikan oleh Exco Selangor, Ng Sze Han (lima dari kanan) pada Disember 2019.
Majlis penyerahan lori kompaktor bagi kutipan sampah domestik di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang dirasmikan oleh Exco Selangor, Ng Sze Han (lima dari kanan) pada Disember 2019.
A
A
A

SHAH ALAM - KDEB Waste Management (KDEBWM) menjangkakan untuk menambah pusat kitar semula baharu di seluruh Selangor dengan dilengkapi teknologi canggih bagi menukar sampah kepada tenaga dalam masa lima tahun akan datang.

Pengarah Urusannya, Ramli Mohd Tahir berkata, buat masa ini KDEBWM mempunyai dua pusat kitar semula berskala besar di Meru, Klang dan Bandar Bukit Puchong, Subang Jaya.

Menurutnya, pusat kitar semula itu salah satu cabang perniagaan yang dikembangkan daripada pengurusan sisa pepejal dan memastikan kelestarian alam sekitar.

“Saya ingin melihat satu teknologi baharu yang agresif, pragmatik dan menggunakan kepakaran baharu untuk merawat serta melupuskan sampah secara lestari, selain daripada penggunaan tapak pembuangan sampah lima tahun akan datang.

“Jika sebelum ini kita mengutip sampah sahaja, kini kita telah memasuki fasa dua dalam aktiviti rawatan dan pembuangan sampah.

“Kita menggunakan semula sampah tersebut, mencipta sesuatu daripadanya dan boleh hasilkan seperti tenaga bersih,” katanya kepada Sinar Harian sempena ulang tahun KDEBWM kelima pada Selasa.

Menurutnya, kaedah tersebut digunakan di luar negara seperti China, Jepun dan Sweden, malah mereka tidak lagi menggunakan tapak pembuangan sampah untuk melupuskan sisa.

Artikel Berkaitan:

Ramli menunjukkan angka lima yang menunjukkan ulang tahun KDEBWM kelima pada Selasa.
Ramli menunjukkan angka lima yang menunjukkan ulang tahun KDEBWM kelima pada Selasa.

Ramli berkata, Selangor mempunyai potensi besar membawa masuk teknologi sedemikian kerana negeri itu dianggap sebagai pusat teknologi.

Beliau berharap pihaknya dapat menguruskan sampah dengan adanya logistik lebih baik menggunakan teknologi baharu dan canggih.

“Saya mahu lihat kawasan-kawasan maju dan moden di Selangor hanya menggunakan sebuah lori dengan seorang pemandu di satu kawasan seperti di Australia.

“Ia dapat mengurangkan risiko dan tenaga buruh dengan menggunakan mesin canggih serta teknologi baharu. Jika Selangor tidak dapat buat, saya tidak nampak negeri lain boleh buat perkara sama kerana negeri ini merupakan pusat kemajuan,” katanya.

Ramli turut berkongsi beberapa perubahan dibuat KDEBWM ketika mengambil alih tugas pengurusan sampah dan sisa pepejal di Selangor sejak 2016.

Beliau berkata, sebelum KDEBWM mengambil alih, pengurusan sampah di Selangor yang diuruskan 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak seragam dan mempunyai keupayaan berbeza disebabkan peruntukan yang yang berlainan.

“Kerajaan Selangor memberi mandat kepada KDEBWM untuk menyelaraskan pengurusan sampah di 12 kawasan PBT di bawah satu bumbung,” katanya.

Menurutnya, sejak 2013 hingga 2016, kerajaan Selangor melihat pengurusan sampah yang diuruskan 12 PBT secara berasingan akan melibatkan peruntukan setiap PBT juga berbeza dengan wujudnya majlis perbandaran, bandaraya dan daerah.

“Di kawasan bandaraya yang mempunyai kepadatan tinggi, mereka boleh meletakkan bajet tinggi untuk pengurusan sampah berbanding PBT bertaraf perbandaran dan daerah.

“Ketika KDEBWM mengambil alih pengurusan sampah di Selangor, kami menggunakan model baharu. Kami mengambil alih semua pengurusan sampah di semua 12 PBT di Selangor secara berperingkat dengan membuat pelaburan baharu,” katanya.

Menurut Ramli, KDEBWM membuat pelaburan besar untuk membeli aset baharu seperti 490 lori kompaktor dan 591 unit lori ‘roll on roll off’ (RORO) di seluruh Selangor.

Kerajaan Selangor memberi mandat kepada KDEBWM untuk menyelaraskan pengurusan sampah di 12 kawasan PBT di bawah satu bumbung.
Kerajaan Selangor memberi mandat kepada KDEBWM untuk menyelaraskan pengurusan sampah di 12 kawasan PBT di bawah satu bumbung.

“Lori yang dilengkapi GPS, kamera litar tertutup (CCTV) dan vehicle monitoring system (VMS) disambungkan ke pusat aduan setempat untuk membantu syarikat menghilangkan ‘downtime’ dalam operasi harian, kekerapan aduan kutipan sisa pepejal dan mengumpul lebih banyak jumlah berat sampah,” katanya.

Ramli berkata, KDEBWM juga memiliki pelbagai jentera pembersihan seperti dua unit road sweeper bagi sapuan di jalan raya lebih pantas dan tersusun.

“Kami juga mempunyai jentera Catch Basin Cleaner (CBC) dan mesin pembersih (high pressure water jetter) yang membantu pembersihan longkang di kawasan-kawasan komersial.

“KDEBWM turut membangunkan aplikasi pintar ‘iClean Selangor’ yang boleh diakses semua rakyat di Selangor bagi memudahkan mereka menyalurkan aduan kutipan sisa pepejal.

“Semua aduan yang betul akan diselesaikan oleh KDEBWM dalam tempoh masa 24 jam mengikut prosedur operasi standard (SOP),” katanya.

Beliau berkata, KDEBWM juga mewujudkan pusat aduan setempat pada 2016 di ibu pejabat KDEBWM, Menara Bank Rakyat, Shah Alam untuk menerima dan mengurus semua aduan berkaitan kutipan sampah domestik dan pembersihan awam.

Ramli turut berkongsi pelbagai cabaran menguruskan sampah dan sisa pepejal yang mampu mencapai 10,000 tan metrik sehari ketika pandemik Covid-19 di Selangor.

Katanya, walaupun kontraktor mereka berdepan pelbagai risiko dijangkiti virus Covid-19 dengan menguruskan sampah yang tidak diselenggara dengan baik, KDEBWM masih mampu menawarkan perkhidmatan terbaik dengan kos 50 peratus lebih murah daripada syarikat konsesi lain.

“Pengurusan sampah dalam musim pandemik lebih bahaya kerana selain kotor, ia juga mungkin membawa Covid-19. Kontraktor terdedah masalah itu kerana mereka perlu mengutip dan melupuskan sampah,” katanya.

Dalam pada itu, Ramli berkata, KDEBWM diberi mandat oleh kerajaan Selangor bagi membangunkan pusat pelupusan Waste-To-Energy Plant (WTE) di negeri itu.

“Proses mengatur tender dan menyenarai pendek beberapa syarikat tempatan dan antarabangsa untuk mengemukakan kertas kerja bagi projek ini telah dibuat,” katanya.

Menurutnya, pembinaan WTE itu bukan sahaja bakal meningkatkan kadar kitar semula, malah ia merupaksan satu kaedah pengurusan sisa yang holistik untuk rawatan sisa pepejal.

“Saya yakin kita dapat membina WTE di Selangor sekali gus dapat menguruskan pelupusan sampah secara pintar dan mesra alam.

“Ia bakal merancakkan lagi ekonomi negeri dan negara dengan pengurusan sisa pepejal yang baik dan mewujudkan rantaian penjanaan ekonomi yang berlipat ganda. Saya selalu mengingatkan diri sendiri mengenai ‘Waste is not dirty but waste is money’,” kata beliau.