Bisnes e-dagang buat duit

Perbelanjaan e-dagang turut merekodkan pertumbuhan 14.8 peratus kepada RM301.5 bilion.
Perbelanjaan e-dagang turut merekodkan pertumbuhan 14.8 peratus kepada RM301.5 bilion.
A
A
A
[INFOGRAFIK] Sektor e-dagang mencatatkan pendapatan sebanyak RM254.6 bilion pada suku tahun pertama (ST1) 2021, kata Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Menurutnya, peningkatan sebanyak 30 peratus itu didorong oleh sektor pembuatan dan perkhidmatan.

“Prestasi lebih baik ini didorong oleh norma baharu Covid-19 yang telah merangsang kepada adaptasi digital.

“Pertumbuhan pesat dalam penggunaan ICT dan e-dagang di Malaysia juga menunjukkan syarikat perniagaan telah beralih kepada laluan digital seiring dengan perkembangan teknologi global,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Dalam pada itu, Dr Mohd Uzir berkata, pada tahun 2020, pendapatan e-dagang merekodkan RM896.4 bilion, meningkat 32.7 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Perbandingan suku tahun-ke-suku tahun pula, sebanyak RM195.9 bilion direkodkan pada suku tahun pertama 2020, diikuti RM216.9 bilion pada suku tahun kedua.

“Pendapatan e-dagang terus menunjukkan trend peningkatan pada suku tahun ketiga dengan merekodkan RM238.2 bilion dan RM245.4 bilion pada suku tahun keempat pada tahun sama,” tambahnya.


Mengulas lanjut, beliau berkata, pendapatan e-dagang meningkat 22.8 peratus pada tahun 2019 berbanding 2017, mencatatkan jumlah sebanyak RM675.4 bilion.

“Pendapatan e-dagang 2019 bagi pasaran tempatan yang dijana daripada jualan di Malaysia, meningkat 21.7 peratus kepada RM591.8 bilion.
Artikel Berkaitan:


“Jualan e-dagang di peringkat antarabangsa pula meningkat 31.9 peratus kepada RM83.5 bilion,” katanya.

Dr Mohd Uzir berkata, pendapatan e-dagang mengikut jenis pelanggan melalui Business to Business (B2B) meningkat 13.0 peratus kepada RM449.6 bilion dan diikuti Business to Consumer (B2C) meningkat 53.3 peratus kepada RM194.0 bilion.

Business to Government (B2G) turut meningkat 55.7 peratus kepada RM31.8 bilion, tambahnya.


Sementara itu, beliau berkata, perbelanjaan e-dagang turut merekodkan pertumbuhan 14.8 peratus kepada RM301.5 bilion.

“Perbelanjaan e-dagang bagi pasaran tempatan bertumbuh 15.3 peratus kepada RM269.6 bilion manakala perbelanjaan pasaran antarabangsa meningkat 10.8 peratus kepada RM31.9 bilion.

“Perbelanjaan e-dagang mengikut jenis pelanggan melalui B2B meningkat 14.1 peratus kepada RM277.6 bilion dan diikuti B2C 24.6 peratus kepada RM14.8 bilion,” katanya.

Bagi B2G pula, beliau berkata, perbelanjaan segmen berkenaan turut meningkat 22.6 peratus kepada RM9.1 bilion.