Memburu emas sulung Olimpik di bumi Tokyo

Tokyo kini sudah bersedia menerima lebih 10,000 atlet daripada 206 buah negara.
Tokyo kini sudah bersedia menerima lebih 10,000 atlet daripada 206 buah negara.
A
A
A

DUA minggu lagi Sukan Olimpik Tokyo 2020 bakal membuka tirainya. Selepas ditangguhkan tahun lalu ekoran pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia, Tokyo kini sudah bersedia menerima lebih 10,000 atlet daripada 206 buah negara yang dijangka mengambil bahagian.

Pada edisi Olimpik kali ini, seramai 30 atlet sah akan membawa cabaran kontinjen Malaysia. Seperti dijangka, skuad badminton muncul sebagai wakil teramai negara yang bakal berentap di bumi Tokyo dengan penampilan lapan pemain.

Skuad terjun juga tidak kurang hebatnya apabila menampilkan lima atlet; pelayaran (empat) memanah (dua); olahraga (dua); lumba basikal (dua), golf (dua); gimnastik (dua) dan renang (dua) manakala menembak diwakili seorang atlet.

Melihatkan senarai 30 atlet yang bertanding pada Olimpik Tokyo 2020, tumpuan pastinya sekali lagi terarah dalam tiga acara - badminton, lumba basikal (trek) dan terjun yang diramal mampu menghadirkan pingat buat kontinjen Malaysia.

Untuk rekod, ketiga-tiga acara itu menjadi penyumbang pingat buat kontinjen Malaysia sejak Sukan Olimpik 1992 di Barcelona, Sepanyol. Badminton tampil bergaya apabila menghadiahkan enam perak dan dua gangsa; terjun (satu perak, satu gangsa) dan lumba basikal (satu gangsa).

Begitupun, sesuatu yang masih dicari-cari kontinjen Malaysia sudah pasti kilauan emas sulung Olimpik. Sehingga kini, Malaysia belum mampu meraih emas Olimpik biarpun beberapa negara jiran terdekat seperti Indonesia, Singapura dan Thailand sudah berjaya menikmatinya.

Selepas terlepas peluang terbaik menyambar pingat emas menerusi bekas jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei dalam tiga temasya Olimpik terdahulu, kini kontinjen Malaysia mengharapkan detik yang ditunggu-tunggu itu akan menjelma di Tokyo nanti.

Prospek utama bagi merealisasikan impian emas sulung Olimpik itu kini digalas jaguh lumba basikal trek negara, Azizulhasni Awang.

Artikel Berkaitan:

Tiga penampilan pada Olimpik Beijing 2008, London 2012, Rio 2016 meletakkan The Pocket Rocketman sandaran terbaik menyambar kilauan emas di Tokyo nanti.

Biarpun tumpuan terarah kepada Azizulhasni, beberapa atlet lain seperti juara Seluruh England, Lee Zii Jia; ratu terjun, Pandelela Rinong serta seorang lagi jaguh lumba basikal trek, Muhammad Shah Firdaus Sahrom diharap mampu mencipta kejutan, sekali gus menyumbang emas sulung Olimpik.