X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 28 November 2021

Tidak goyang berdepan Brazil

Aksi Martinez ketika cuba menepis sepakan penalti Mina pada aksi separuh akhir Copa America 2021 di Stadium Mane Garrincha, Brasilia.
A
A

PENJAGA gol Argentina, Emiliano Martinez mengakui keterujaannya untuk beraksi menentang penyandang juara Brazil dalam perlawanan akhir Copa America 2021 di Stadium Maracana hujung minggu ini.

Malah menurut Martinez yang kini bersama kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Aston Villa, satu penghormatan menjadi sebahagian daripada skuad La Albiceleste dalam membawa cabaran sebagai benteng terakhir pasukan dalam perlawanan itu.

“Kami hadir ke pertandingan ini dengan pelbagai cabaran dalam dan luar padang sejak dari peringkat kumpulan lagi. Namun dengan sokongan semua kami mengharunginya sehingga ke satu fasa kalah mati.

“Kini di depan kami menanti adalah Brazil, pasukan tuan rumah juga penyandang juara yang menjadi impian setiap pemain untuk ditentang dalam setiap perlawanan.

“Brazil merupakan pasukan hebat dan pilihan untuk kejuaraan kali ini, namun Argentina juga tidak kurang hebat akan berusaha memenangi kejuaraan berbekalkan pengendali berpengalaman, selain pemain-pemain terbaik dunia,” katanya.

Bekas penjaga gol Arsenal itu sebelum ini muncul wira La Albiceleste apabila menyelamatkan tiga sepakan penalti untuk kemenangan 3-2 ke atas Colombia selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada aksi separuh akhir Copa America 2021 di Stadium Nacional Mane Garrincha, pada Rabu.

Kemenangan itu sekaligus membolehkan Argentina mara ke perlawanan akhir menentang juara bertahan Brazil yang sebelum itu menyingkirkan Peru 1-0 dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Kali terakhir Seleçao dan La Albiceleste berentap pada perlawanan akhir Copa America adalah pada edisi Venezuela 2007 yang menyaksikan skuad Samba menang 3-0.

Pada penentuan sepakan penalti itu, Martinez menyelamatkan sepakan pemain Colombia, Davinson Sanchez, Yerry Mina dan Edwin Cardona manakala tiga jaringan penalti Kapten Argentina, Lionel Messi, Leandro Paredes dan Lautaro Martinez mengesahkan slot La Albiceleste ke perlawanan akhir.

Dalam aksi 90 minit di Brasillia itu, Argentina terlebih dulu di depan pada minit ketujuh menerusi Martinez sebelum Luis Diaz menyamakan kedudukan pada minit ke-61.

Dalam pada itu, pengendali Argentina, Lionel Scaloni, menyifatkan kecemerlangan Martinez tidak hanya berkisar kepada kejayaannya menafikan tiga sepakan pemain Colombia.

Sebaliknya menurut Scaloni, penjaga gawang tersebut juga memainkan peranan utama dalam menstabilkan keadaan dalam pasukan itu.

“Kami tidak hanya gembira dengan kecemerlangan Martinez di gawang gol, tetapi juga aura positif beliau berjaya menenangkan pemain-pemain lain ketika perlawanan.

“Apatah lagi apabila Martinez menjadi antara tonggak menyokong bahagian pertahanan Argentina pada setiap perlawanan,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!