Penalti kontroversi bawa England ke final Euro 2020

Pemain England meraikan jaringan Kane -Foto EPA
Pemain England meraikan jaringan Kane -Foto EPA
A
A
A

SEPERTI diramal, England mara ke final Euro 2020 apabila menewaskan Denmark 2-1 dalam masa tambahan pada aksi separuh akhir di Wembley pada Khamis.

Jaringan kapten, Harry Kane menerusi sepakan penalti kontroversi pada minit ke-104, ternyata sudah cukup memadai buat skuad The Three Lions itu menempah pertemuan dengan Itali di venue sama, 12 Julai ini.

Kedua-dua pasukan mempamerkan aksi pantas sebaik wisel permulaan dengan menyaksikan beberapa percubaan dilakukan dalam usaha membuka jaringan.

Bagaimanapun, Denmark yang dulu membuka jaringan hasil sepakan percuma cantik Mikkel Damsgaard pada minit ke-30 yang sama sekali menewaskan penjaga gol England, Jordan Pickford.

Tersentak dengan gol itu, England mula bangkit mengatur asakan ke gawang Denmark dalam usaha menjaringkan gol penyamaan dan usaha mereka berhasil apabila menyaksikan kapten Denmark, Simon Kjaer tertampan bola ke gawang sendiri ketika cuba mengekang lorongan Bukayo Saka pada minit ke-39.

Gol itu dilihat semakin menyemarakkan semangat skuad The Three Lions untuk terus mengasak hebat ke gawang Denmark bagi menambah jaringan, namun berjaya dikekang benteng pertahanan Denmark hingga tamat babak pertama.

Babak kedua menyaksikan England semakin menggandakan asakan dan hampir menjaringkan gol kedua menerusi tandukan Harry Maguire pada minit ke-55, namun berjaya diselamatkan penjaga gol Denmark, Kasper Schmeichel.

Skuad The Three Lions itu kemudiannya dilihat semakin hebat mengasak ke gawang Denmark sehingga ke penghujung babak kedua, namun tetap gagal menembusi benteng pertahanan bagi mengheret perlawanan ke masa tambahan.

Artikel Berkaitan:

England kemudiannya menjaringkan gol kedua pada minit ke-104 menerusi sepakan penalti kapten, Harry Kane setelah Raheem Sterling didakwa dikasari pertahanan Denmark.

Gol berkenaan dilihat semakin menyemarakkan semangat skuad The Three Lions itu untuk terus mendominasi perlawanan selain turut melancarkan asakan ke gawang Denmark dalam usaha menambah jaringan.

Bagaimanapun, tiada sebarang jaringan tambahan berjaya dihasilkan dan menyaksikan kedudukan 2-1 kekal hingga ke wisel penamat.