Saingan Piala Tun Razak, MJHL hujung tahun

Anil Jeet Singh
Anil Jeet Singh
A
A
A

JAWATANKUASA Pertandingan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) membuat keputusan untuk menganjurkan dua kejohanan hoki domestik pada hujung tahun ini.

Piala Tun Abdul Razak 2021 dijadualkan bermula pada 10 hingga 20 November ini, manakala Liga Hoki Remaja Malaysia (MJHL) 2021 bakal berlangsung bermula 26 November hingga 2 Januari 2022.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan KHM, Datuk Seri Dr Anil Jeet Singh berkata, kedua-dua kejohanan itu akan dianjurkan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

“Penganjuran dua kejohanan ini akan diteruskan, kami telah melakukan perancangan serta menyusun jadual dengan sebaiknya, selain mengambil kira ruang masa yang cukup untuk setiap pemain mendapatkan suntikan vaksin.

“Kami akan mengadakan perbincangan yang lebih terperinci pada 25 Julai untuk menetapkan venue bagi kedua-dua kejohanan ini, SOP yang perlu dipatuhi serta langkah yang terbaik untuk semua pihak kerana penganjuran kejohanan MJHL 2021, khususnya akan membabitkan remaja yang masih bersekolah,” katanya menerusi kenyataan.

Sementara itu, Anil berkata, had umur bagi MJHL 2021 telah dinaikkan daripada bawah 19 tahun kepada bawah 21 tahun bagi edisi kali ini, dengan dua divisyen dipertandingkan bagi kategori lelaki sementara wanita kekal dengan satu divisyen.

Beliau berkata setakat ini, KHM telah menerima 10 penyertaan daripada divisyen satu dan 14 penyertaan pasukan divisyen dua bagi kategori lelaki, manakala sebanyak 14 pasukan telah menghantar penyertaan bagi kategori wanita.

Saingan MJHL tahun lepas terpaksa dibatalkan berikutan pandemik Covid-19, namun Piala Tun Abdul Razak 2020 dilangsungkan dengan jayanya tanpa menyebabkan sebarang jangkitan Covid-19 dalam kalangan pemain dan pegawai yang terlibat.

Artikel Berkaitan: