X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 18 Mei 2022

Azizulhasni hormati keputusan Chong Wei, MOM

Azizulhasni. Foto: FB Azizulhasni Awang
A
A

JAGUH berbasikal negara, Mohd Azizulhasni Awang menghormati keputusan Ketua Kontinjen (CDM) Sukan Olimpik 2020, Datuk Lee Chong Wei tidak menyertai kontinjen negara di Tokyo kerana faktor kesihatan.

Pelumba berusia 33 tahun yang pernah berjuang bersama-sama Chong Wei di tiga temasya Olimpik, iaitu Beijing 2008, London 2021 dan Rio 2016 berkata, beliau faham dengan situasi yang dialami oleh bekas pemain badminton nombor satu dunia itu.

“Jadi saya rasa keputusan yang baik daripada beliau untuk tidak ke Tokyo atas faktor kesihatan dan situasi semasa berikutan pandemik Covid-19. Kita pun tahu keadaan macam mana di Tokyo, kes pun tinggi di sana.

“Saya ucapkan selamat berehat dan semoga semuanya berjalan lancar (buat Chong Wei),” katanya pada sidang media secara maya mengenai persiapannya ke Olimpik Tokyo 2020.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican pada Isnin lalu, mengesahkan Chong Wei tidak akan ke Jepun atas faktor kesihatan dan nasihat doktor yang tidak membenarkannya ke luar negara.

Bagaimanapun, pemenang pingat perak di tiga Olimpik itu kekal sebagai CDM dengan memantau prestasi atlet secara maya sepanjang kejohanan berlangsung, manakala Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Mohd Nazifuddin Najib akan menguruskan kontinjen negara di Tokyo.

Chong Wei diumumkan sebagai CDM pada Jun 2019, sejurus selepas beliau mengumumkan persaraannya susulan menghidap kanser hidung pada September 2018.

Mohd Azizulhasni, juara dunia acara keirin 2017 berkata, keputusan melantik Mohd Nazifuddin dilihat tepat, kerana perlu mempunyai seorang pegawai untuk menguruskan perkara-perkara berkaitan kontinjen negara.

“Saya rasa ia tindakan yang relevan kerana perlu ada seorang di sana. Mengikut pengalaman saya, apabila tiba di Perkampungan Sukan Olimpik nanti, akan timbul beberapa isu yang kita tidak dapat elakkan.

“Pengurus pasukan dan jurulatih pun akan rujuk kepada CDM, tugas CDM menghubungi pihak IOC (Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa) dan penganjur di Jepun untuk membantu kontinjen kita melancarkan segala perjalanan temasya. Kita kena bersedia untuk semua itu,” katanya yang bakal beraksi dalam acara pecut dan keirin.

Malaysia akan diwakili 30 atlet, yang akan beraksi dalam 10 jenis sukan di Sukan Olimpik Tokyo bermula pada 23 Julai hingga 8 Ogos ini.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!