X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 03 Julai 2022

Janggal tetapi itu hakikat perlu diterima

Dua atlet pelayaran wanita negara berangkat ke Tokyo esok bagi membawa cabaran Malaysia di Sukan Olimpik, bermula 23 Julai ini.
A
A

TERASA janggal tetapi itu hakikat yang perlu diterima dua atlet pelayaran wanita negara yang tidak dapat mencium tangan ibu bapa sebelum berangkat ke Tokyo esok bagi membawa cabaran Malaysia di Sukan Olimpik, bermula 23 Julai ini.

Keadaan itu disebabkan wakil termuda pelayaran ke Sukan Olimpik Tokyo, Juni Karimah Noor Jamali dan pasangan Nuraisyah Jamil yang akan bertanding dalam acara International 470 wanita perlu berada dalam gelembung sukan menjelang temasya berprestij itu.

Bagaimanapun, kerinduan sedikit terubat buat Juni Karimah yang sempat memohon doa serta restu daripada keluarganya di Pusat Latihan Perahu Layar Kebangsaan di Pulau Langkawi sebelum menjalani kuarantin di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik Malaysia di Kampung Pandan bermula Ahad lepas.

Memandangkan keluarganya menetap di Pulau Langkawi, Juni Karimah berkata beliau sempat berjumpa ibu dan bapanya Nuris Fawati Ismail dan Noor Jamali Mohd Noh di pusat latihan, namun dipisahkan oleh pagar sebagai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

“Kami menjalani latihan dalam gelembung sukan, jadi mak saya datang, jumpa dekat pagar sahaja, daripada situ la Juni minta dia doakan Juni supaya boleh buat yang terbaik,” katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Nasib berbeza dialami pasangan Juni, Nuraisyah yang kali terakhir bertemu keluarga dan ibu bapa, Samsiah Ismail dan Jamil Sahri pada Disember tahun lepas.

Beliau berkata bagi meredakan kerinduan terhadap keluarga tercinta, beliau sering membuat panggilan telefon dan video kepada keluarganya di Johor, selain mendapatkan kata-kata semangat bagi mendorongnya untuk menampilkan aksi terbaik di Sukan Olimpik.

“Ibu bapa saya memang sokong daripada awal saya masuk sukan pelayaran ni, kalau sebelum PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) ada sukan antarabangsa, mereka akan datang dari Johor untuk hantar saya di lapangan terbang.

“Kami tidak boleh balik dan kena kuarantin, tidak boleh jumpa orang luar, jadi kami perlu jaga diri sendiri, kalau positif (Covid-19) lagi masalah, keluarga faham kenapa tak boleh jumpa, sebab kami ada tanggungjawab sendiri juga,” jelasnya yang akan bertindak sebagai ‘helm’.

Sementara itu Juni Karimah yang beraksi sebagai kru berkata mereka bersama skuad pelayaran negara telah menjalani ujian calitan Covid-19 setiap hari sejak tiba di Kampung Pandan dan akan bertolak ke Tokyo dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam 6 pagi esok.

Dalam pada itu, Nuraisyah mengakui sudah mula merasai debaran temasya Sukan Olimpik memandangkan ia adalah penampilan pertamanya sementara Juni Karimah pula teruja untuk menimba pengalaman baharu beraksi di temasya berkenaan.

Duo itu menempah slot ke Sukan Olimpik Tokyo apabila berjaya mengatasi wakil Singapura dan Thailand dengan menduduki tempat kelima di Piala Asia 2019 yang diadakan di Shenzhen, China.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!