X

Kindly register in order to view this article
!

'La Roja tetap terbaik'

A
A

PENGENDALI Sepanyol, Luis Enrique mengakui berpuas hati dengan persembahan pemain-pemain La Roja walaupun tewas kepada Itali dalam aksi separuh akhir Euro 2020 di Stadium Wembley, awal pagi Rabu.

Malah menurut Enrique, kejayaan mengekang pergerakan pemain-pemain Itali sepanjang 90 minit itu merupakan pencapaian yang membanggakan buat pasukan tersebut.

“Sejujurnya, saya berpuas hati dengan persembahan pemain-pemain Sepanyol dalam menyaingi Itali, apabila kedua-duanya tampil aksi berkualiti dan berusaha bermain bola sepak dengan baik.

“Saya ucapkan tahniah kepada Itali dan berharap mereka dapat menunjukkan prestasi yang lebih baik pada perlawanan akhir seterusnya berusaha memenangi trofi.

“Saya tidak terkilan dengan keputusan ini, sebaliknya gembira semua pemain-pemain melakukan tugasan masing-masing dengan sempurna. Apatah lagi Itali memulakan aksi dengan intensiti tinggi, begitu juga Sepanyol dan ini merupakan antara perlawanan terbaik pada saingan Eropah,” kata Enrique.

Terdahulu, jaringan lencong Federico Chiesa membolehkan Gli Azzurri mendahului, namun pemain gantian, Alvaro Morata menyamakan kedudukan buat La Roja pada minit ke-80 untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan.

Gli Azzurri mengesahkan slot final apabila melakar kemenangan 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam tempoh 120 minit perlawanan pada aksi separuh akhir Euro 2020 di Stadium Wembley.

Pada masa sama, Enrique mengakui berpuas hati apabila berjaya menyaingi anak buah Roberto Mancini dari aspek taktikal apabila meletakkan Alvaro Morata dan Gerard Moreno di bangku simpanan.

Menurut Enrique, taktikal Mancini semasa melakar kemenangan 2-1 ke atas Belgium dipraktikkan dalam perlawanan di London tersebut.

“Saya terinspirasi apabila melihat Giorgio Chiellini dan Leonardo Bonucci menenangkan pergerakan Romelu Lukaku.

“Saya melihat Chiellini dan Bonucci mampu mengawal Lukaku dengan baik dan mungkin pendekatan ini juga lebih baik digunakan ke atas Itali, ternyata pendekatan ini cukup berkesan,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!