X

Kindly register in order to view this article
!

Itali senyapkan pengkritik

Chiesa (kiri) meraikan jaringan untuk Itali ketika menentang Sepanyol di Stadium Wembley. - Foto AFP
A
A

PENGENDALI Itali, Roberto Mancini percaya Gli Azzurri telah berjaya menutup mulut pengkritik apabila berjaya mara ke pentas perlawanan akhir Euro 2020 di Stadium Wembley hujung minggu ini.

Bagaimanapun menurut Mancini, Gli Azzurri terpaksa berdepan cabaran getir menentang lawan hebat seperti Sepanyol untuk mara ke perlawanan akhir kejuaraan utama dalam tempoh sembilan tahun.

“Ada ketikanya terdapat perlawanan mencabar yang tidak semudah seperti diharungi dalam peringkat sebelum ini dan kami mengetahui ia akan menjadi lebih mencabar.

"Jadi inilah penyebab pemain-pemain dan mereka yang bekerja keras bersama kami sepanjang tiga tahun ini selayaknya menerima pujian ini, kerana ia bukan sesuatu yang mudah.

" Sejujurnya, hampir tiada siapa pun percaya kemampuan pemain-pemain Itali mampu hingga ke tahap ini, dan kini kami ke peringkat akhir.

"Kami amat gembira dan kemaraan ini adalah untuk penyokong-penyokong setia Gli Azzurri yang bersama kami sepanjang beberapa minggu mencabar ini," kata Mancini.

Gli Azzurri mengesahkan slot final apabila melakar kemenangan 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam tempoh 120 minit perlawanan pada aksi separuh akhir Euro 2020 di Stadium Wembley.

Terdahulu, jaringan lencong Federico Chiesa membolehkan Gli Azzurri mendahului, namun pemain gantian, Alvaro Morata menyamakan kedudukan buat La Roja pada minit ke-80 untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan.

Pada perlawanan itu, Itali nyata gagal menyaingi Sepanyol apabila Gli Azzurri sekadar mencatat 35 peratus penguasaan bola diikuti tujuh percubaan tepat berbanding La Roja dengan 16 lawan sebelum menang 4-2.

Mengakui berdepan tekanan hebat daripada anak buah Luiz Enrique terutama penguasaan bola, Mancini tetap memuji kemampuan skuadnya.

"Kami gembira kerana dapat mempersembahkan aksi menghiburkan buat rakyat Itali yang menyaksikan perlawanan ini, namun harus diingat masih terdapat satu lagi perlawanan.

"Kami tahu itu akan menjadi perlawanan yang sangat sukar, kerana dari segi penguasaan bola, Sepanyol adalah yang terbaik. Mereka memberikan masalah sehingga kami terpaksa bekerja lebih keras untuk mencipta peluang dan menjaringkan gol.

"Ya, timbul banyak masalah selepas kami tidak memiliki banyak penguasaan bola. Namun pemain-pemain Itali terus gigih berusaha kerana mahu ke final. Penalti ada bonus, namun saya harus jujur bahawa Sepanyol adalah pasukan yang hebat," ujar Mancini.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!