X

Kindly register in order to view this article
!

Isu kebun durian haram: Tindakan selamat tanah dan hak kerajaan Pahang

Sebanyak 16.4 hektar daripada 101 hektar kebun durian musang king haram di dalam Hutan Simpan Batu Talam, Raub telah dimusnahkan JPNP setakat petang Rabu.
A
A

KUANTAN - Tindakan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail tidak berkrompomi dengan mana-mana pihak yang meneroka tanah secara haram di Pahang adalah keputusan tepat dan berpaksikan kepada kedaulatan undang-undang.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, tindakan itu bagi menyelamatkan tanah dan hak kerajaan negeri.

Menurutnya, tanah itu harus dikembalikan kerana ia boleh mendatangkan manfaat kepada rakyat dan Pahang di masa akan datang.

“Tindakan ini juga bukan dendam mahupun bersifat rasis, lagi perkauman seperti yang digemburkan oleh mereka yang berniat jahat.

“Setelah lebih 20 tahun mereka meneroka secara haram dan mengaut keuntungan puluhan juta ringgit, kini sampai masanya tanah milik kerajaan negeri itu diambil semula, yang akhirnya dapat dikongsi dan diusahakan bersama rakyat secara lebih adil dan berkesan.

“Tindakan tegas ini dilakukan setelah beberapa kali mengadakan perbincangan dengan peneroka haram dan setelah melalui prosedur mahkamah,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya pada Rabu.

Beliau menjelaskan, kerajaan Pahang melalui Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) bersama-sama agensi kerajaan negeri sedang menjalankan operasi bersepadu memusnahkan kebun haram durian di sekitar daerah Raub.

Katanya, operasi ini juga mendapat kerjasama sepenuhnya daripada pihak Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dan ia hanya tertumpu di sekitar kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) Batu Talam dengan anggaran keluasan 101.17 hektar.

Muhammad Fakhruddin memaklumkan, Wan Rosdy sentiasa konsisten dan serius menyelamatkan tanah negeri yang diteroka secara haram sejak puluhan tahun lalu, selepas mengambil alih pentadbiran di Pahang, sejak tiga tahun lalu.

"Sampai bilakah mereka ini harus dibiarkan? Sampai bila kerajaan negeri hanya rugi kerana mereka sebenarnya tidak membayar cukai? Sampai bila pula rakyat Pahang hanya melihat tanpa mendapat apa-apa faedah?

"Kerana itu kerajaan Pahang bertindak tegas bukan hanya terhadap penerokaan tanah haram Musang King di Raub ini malah telah menyelamatkan tanah Pahang daripada kerakusan peneroka haram yang terus menjarah tanah-tanah bukit milik kerajaan Pahang di Cameron Highlands yang dijadikan kebun sayur," katanya.

Dalam pada itu, Mohammad Fakhruddin juga kecewa apabila ada pemimpin politik yang cuba menghasut rakyat, memburuk-burukkan Kerajaan Pahang dan memainkan sentimen agama serta perkauman.

"Mereka cuba menjadi hero dan mempopularkan diri mereka serta parti DAP yang mereka tunjangi," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!