Pemangku Raja Pahang minta teliti inisiatif Sempadan Hijau Negeri

Tengku Hassanal
Tengku Hassanal
A
A
A

KUANTAN - Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah meminta Kerajaan Pahang meneliti satu inisiatif Sempadan Hijau Negeri yang mana melibatkan kawasan sempadan Negeri Pahang merangkumi keluasan 54,350 hektar.

Pengelola Bijaya Diraja KDYMM Sultan Pahang Datuk Ahmad Khirrizal Ab Rahman berkata, baginda bertitah, kawasan itu adalah sepanjang 1,087 kilometer dan selebar kira-kira 500 meter.

Menurutnya, baginda juga meminta sebahagian besar kawasan itu diwartakan sebagai Hutan Simpan Kekal, manakala kawasan yang terlibat dengan tanah milik dibangunkan secara lestari selaras konsep Alam Sekitar–Sosial Tadbir Urus (ESG).

“Baginda bertitah kawasan tersebut perlu menjadi kawasan perlindungan bagi hidupan liar, flora dan fauna sepenuhnya. Baginda mengutuk sekeras-kerasnya aktiviti pemburuan haram di Negeri Pahang.

“Titah Tengku Hassanal, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (Perhilitan) negeri perlu menjalankan penguatkuasaan dengan lebih tegas bagi terus melindungi hidupan liar di Pahang,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, baginda turut bertitah kawasan-kawasan strategik bagi hidupan liar, flora dan fauna seperti Taman Negara, Taman Negeri Endau Rompin, Hutan Lipur dan Hutan Rimba, Tasik Chini dan Tasik Bera, Bukit Fraser, Gunung-Ganang, Kawasan Gua, Kawasan Tadahan Air dan Sungai, Kawasan Pantai dan Pulau-Pulau serta kawasan penempatan Orang Asli terus kekal dipelihara.

Sehubangan itu, baginda meminta kerajaan Pahang menggiatkan usaha untuk mengenal pasti sumber alternatif selain daripada aktiviti pembalakan dan perlombongan sebagai hasil baharu kepada kerajaan negeri.

“Baginda mengalu-alukan semua pihak yang berminat untuk melabur di Pahang membawa idea-idea baharu yang selari dengan konsep ESG,” katanya,

Artikel Berkaitan:

Katanya lagi, berhubung dengan langkah pemuliharaan Kawasan Rizab Biosfera UNESCO Tasik Chini, baginda telah mengadakan perbincangan bersama kerajaan negeri serta Pusat Penyelidikan Tasik Chini (PPTC) Universiti Kebangsaan Malaysia.

“Baginda bertitah agar usaha pemulihan kawasan tersebut dengan penanaman pokok yang bersesuaian perlu disegerakan,” katanya.