Penganggur didenda RM3,500 cederakan kakak ipar

Seorang penganggur didenda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret Selayang pada Rabu, atas dua pertuduhan mencederakan dan mengugut kakak iparnya, Januari lalu.
Seorang penganggur didenda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret Selayang pada Rabu, atas dua pertuduhan mencederakan dan mengugut kakak iparnya, Januari lalu.
A
A
A

SELAYANG - Seorang penganggur didenda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Rabu, atas dua pertuduhan mencederakan dan mengugut kakak iparnya, Januari lalu.

M Haridharan, 28, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret Nur Hafizah Rajuni.

Bagi kesalahan mendatang kecederaan, tertuduh didenda RM1,000, manakala denda RM2,500 bagi kesalahan ugut.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara dua bulan bagi setiap pertuduhan, jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan pertama, pemuda itu didakwa sengaja mendatangkan kecederaan kepada kakak iparnya, P Thilagavathy, 33, (pengadu) di sebuah rumah di Jalan 1/11 Rawang pada jam 11.30 malam, 19 Januari lalu.

Atas tuduhan itu, dia boleh dihukum di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan kedua, lelaki itu didakwa menakutkan secara jenayah terhadap mangsa sama dengan mengeluarkan kata-kata ugutan dalam bahasa Tamil, di lokasi, masa dan tarikh sama.

Bagi kesalahan itu, dia boleh dihukum di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Artikel Berkaitan:

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, pengadu ternampak tertuduh memukul teman wanitanya.

Pengadu cuba untuk meleraikannya, namun tertuduh mengambil meja seterika dan memukul pengadu, kemudian mengugut untuk membakar kilang dan lori.

Semasa prosiding, peguam, Azman Abdullah yang mewakili tertuduh merayu agar anak guamnya dikenakan hukuman ringan kerana dia tidak bekerja.

"Ketika kejadian, anak guam saya mengaku berada dalam keadaan mabuk dan dia memohon maaf atas perbuatan tersebut," katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Khairunnisak Hassni mencadangkan tertuduh dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran.

"Mabuk bukanlah alasan untuk tertuduh melakukan kedua-dua kesalahan tersebut," katanya.