MAFI Prihatin bantu 21,802 penerima pelbagai peringkat

Che Abdullah (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada wakil penerima, Pegawai Perubatan U54, Dr Nik Insusinarti Shafei di PPV, Dewan Sri Tunjong, Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, Kota Bharu pada Rabu.
Che Abdullah (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada wakil penerima, Pegawai Perubatan U54, Dr Nik Insusinarti Shafei di PPV, Dewan Sri Tunjong, Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, Kota Bharu pada Rabu.
A
A
A

KOTA BHARU - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) melalui program MAFI Prihatin telah menyampaikan bantuan kepada 21,802 orang penerima yang terdiri daripada pasukan barisan hadapan, badan kebajikan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, ia melibatkan 82 lokasi seluruh negara dengan jumlah keseluruhan penyaluran makanan sebanyak 37.51 metrik tan.

"Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) melalui MAFI Prihatin juga telah membantu 425 usahawan tani dalam memasarkan 44 jenis hasilan pertanian dan produk mereka yang mengalami kesukaran dalam menjalankan aktiviti pemasaran semasa tempoh pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Beliau hadir menyerahkan bantuan MAFI Prihatin kepada 80 orang petugas barisan hadapan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV), Dewan Sri Tunjong, Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, di sini pada Rabu.

Hadir sama, Penasihat Kompleks Pemasaran FAMA, Mohd Ariffin Awang dan Pengarah FAMA Negeri, Wan Nora Wan Ahmad.

Sumbangan yang berbentuk hasil pertanian seperti sayur-sayuran dan buah-buahan ini merupakan kesinambungan program MAFI Prihatin yang bertujuan membantu meringankan beban rakyat yang terkesan akibat Covid-19.

Antara barangan yang disalurkan adalah nanas, jambu batu dan terung.

Mengulas lanjut, Che Abdullah berkata, untuk program MAFI Prihatin di Kelantan pula, seramai 716 penerima menerima manfaat berkenaan melibatkan lapan lokasi seluruh Kelantan dengan jumlah keseluruhan pemberian sebanyak 2.9 metrik tan sayur-sayuran dan buah-buahan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Che Abdullah juga memberitahu, peranan FAMA dalam khidmat pemasaran terbahagi kepada dua iaitu belian secara langsung dan pengaturan pasaran.

"Bagi tempoh Januari hingga Jun, FAMA telah membuat belian secara langsung sebanyak 5,557 metrik tan dengan nilai RM9,575,932, manakala pengaturan pasaran adalah sebanyak 15,798 metrik tan dengan nilai RM27,223,279.

"Belian secara langsung adalah Pusat Operasi FAMA membuat pembelian hasil pertanian usahawan tani, manakala bagi pengaturan pasaran, FAMA membantu dalam penyediaan ruang pasaran dan pemadanan perniagaan usahawan tani dengan pihak swasta atau persendirian," katanya.

Untuk rekod, terdapat dua buah Pusat Operasi FAMA di Kelantan iaitu di Kota Bharu dan Machang.

FAMA Kelantan telah membuat belian secara langsung sebanyak 875 metrik tan dengan nilai RM1,492,000. Bagi pengaturan pasaran pula adalah sebanyak 4,990 metrik tan dengan nilai RM7,300,000.

Antara daerah pengeluaran utama adalah di Kota Bharu, Pasir Putih dan Bachok yang melibatkan tiga komoditi utama di Kelantan iaitu tembikai, labu dan 'honeydew'.

Untuk mendapatkan khidmat pemasaran ini bolehlah menghubungi Pusat-pusat Operasi FAMA yang terdekat atau melayari portal FAMA Feedback System (http://ffs.fama.gov.my/aduan/) untuk sebarang pertanyaan, cadangan atau aduan.