X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 05 Julai 2022

Nampak angin berpusing terbangkan atap

Keadaan kediaman Norliza yang rosak akibat dipukul ribut dalam kejadian petang Selasa. (Gambar kecil: Norliza)
A
A

HULU TERENGGANU - Mangsa ribut di Perumahan Padang Setengge di sini mendakwa melihat angin berpusing laju sebelum membadai kediamannya dan menerbangkan lebih 10 keping atap.

Norliza Abu bakar, 40, berkata, kejadian kira-kira jam 6 petang pada Selasa berlaku dalam tempoh singkat.

"Kejadian itu berlaku sekejap sahaja tak sampai lima minit. Ketika itu saya kebetulan berada di luar rumah, manakala suami berada di bilik air dan anak sulung sedang makan nasi di dapur.

"Kebetulan anak kedua berusia lapan tahun sedang bermain basikal di luar rumah sebelum cuaca tiba-tiba berubah dan angin kencang serta ribut kuat melanda. Saya nampak dengan jelas angin berpusing kuat dan menerbangkan atap rumah kami.

"Ketika itu, anak saya tiba-tiba hilang kerana lari menyelamatkan diri di rumah jiran. Saya yang panik hanya mampu berdoa agar dijauhkan daripada musibah yang tidak diingini," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Menurut Norliza, tragedi itu disifatkan antara yang terburuk pernah berlaku sepanjang sembilan tahun tinggal di situ.

"Sejak saya duduk di sini pernah tiga kali berlaku ribut di kawasan ini dan semalam (Selasa) adalah situasi paling teruk berlaku setakat ini," katanya.

Norliza berkata, setakat ini proses membaiki atap kediaman sedang dijalankan dengan dibantu pemimpin setempat.

"Saya terpaksa hantar anak-anak ke rumah nenek mereka di Kampung Jenagor, manakala saya dan suami tinggal di sini untuk menjaga rumah kerana bimbang kejadian kecurian yang telah dilaporkan telah berlaku malam tadi," katanya.

Sementara itu, Nadiah Mohd, 42, yang masih trauma dengan kejadian itu berkata, kediamannya turut dipukul ribut dan hampir kesemua atap diterbangkan angin.

"Masa kejadian saya keluar rumah dan nampak angin begitu kuat. Saya mula rasa tidak sedap hati.

"Tiba-tiba angin kuat terbangkan atap dan sekelip mata sahaja kediaman kami dimasuki air. Ketika itu, anak-anak mula menangis ketakutan," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!