Saya akan galas tanggungjawab ini sebaiknya: Hishammuddin

Hantaran Hishammuddin di Facebook beliau pada Rabu.
Hantaran Hishammuddin di Facebook beliau pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang baharu dilantik sebagai Menteri Kanan Luar Negeri berjanji akan menggalas tanggungjawab diberikan dengan sebaiknya.

Beliau yang akan mengetuai Kluster Keselamatan negara juga menyatakan komitmen untuk membantu Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

"Terima kasih Perdana Menteri di atas kepercayaan melantik saya selaku Menteri Kanan Luar Negeri.

"Saya sedar dan insaf, dalam berdepan pandemik Covid-19, tanggungjawab dan harapan rakyat cukup besar. InsyaALLAH saya akan galas tanggungjawab ini sebaiknya," katanya menerusi hantaran di Facebook rasmi beliau pada Rabu.

Hishamuddin menegaskan, beliau percaya hanya dengan stabiliti, kesatuan dan kerjasama semua pihak, mampu membawa Malaysia keluar daripada krisis Covid-19.

Menurutnya, walaupun dilantik sebagai menteri kanan, beliau masih berpegang pada prinsip perjuangan yang sama.

"Percayalah, apa jua jawatan dan kedudukan yang diamanahkan, pendirian saya tetap sama...hanya mahu bekerja demi rakyat dan negara dengan seikhlas hati.

"Saya berdoa, semoga Allah SWT meredai ketentuan ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam satu kenyataan pada Rabu mengumumkan pelantikan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Perdana Menteri sementara Hishamuddin pula sebagai Menteri Kanan Luar Negeri berkuatkuasa serta merta.

Ismail Sabri kekal memegang portfolio Menteri Pertahanan.

Kedua-dua pelantikan itu disembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong dan berkuatkuasa serta merta.

ARTIKEL BERKAITAN: Ismail Sabri dilantik Timbalan Perdana Menteri, Hishammuddin Menteri Kanan